03 Oktober 2011

10,000 peluru berpandu NATO dilaporkan hilang di Libya

6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BERLIN: Sekurang-kurangnya 10,000 peluru berpandu kepunyaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dilaporkan hilang di Libya, kata seorang pegawai kanan pertubuhan di tengah kebimbangan ia mungkin jatuh ke tangan anggota al-Qaeda.

Majalah Der Speigel di Jerman melaporkan dalam laman webnya, Laksamana Giampolo di Paolo, yang mempengerusikan jawatankuasa ketua tentera NATO, mengadakan taklimat sulit kepada ahli Parlimen Jerman hari ini dan meluahkan kebimbangan mengenai kehilangan itu.

Senjata berkenaan mungkin berada di negara lain dan dalam tangan yang salah, kata laksamana itu.

Spiegel melaporkan ia mungkin berada di mana-mana saja dari Kenya ke Kunduz di Afghanistan.

“Peluru berpandu itu memberikan ancaman serius kepada sistem penerbangan sivil,” kata di Paolo.

Laporan berkenaan menyamai kenyataan dibuat pegawai tentera kepemimpinan baru Libya, kelmarin.

Jeneral Mohammed Adia memberitahu wartawan kira-kira 5,000 roket antipesawat SAM-7 hilang.

“Malangnya, sebahagian peluru berpandu ini mungkin jatuh ke dalam tangan yang salah di luar negara,” katanya kepada wartawan di depan bekas depo senjata pemimpin Libya yang digulingkan, Muammar Gaddafi di Benghazi.

Amerika Syarikat menegaskan ia bekerjasama dengan pemimpin kerajaan sementara Libya untuk memastikan keselamatan senjata, di tengah kebimbangan berhubung pertambahan senjata.

Jabatan Negeri Amerika memperuntukkan AS$3 juta (RM9.3) untuk membantu melupuskan senjata.

Sementara itu di TRIPOLI, sekeluarga empat beranak maut terkena tembakan mesingan kelmarin apabila cuba keluar dari bandar kelahiran Muammar Gaddafi bersama-sama beratus penduduk lain, ketika tentera yang setia kepada bekas pemimpin itu bertempur dengan pejuang revolusi yang mengepung bandar raya berkenaan.

Mayat sepasang suami isteri dan dua anak mereka di bawa ke hospital sementara di luar Sirte, kata doktor di situ, Nuri Naari. Mereka terkena tembakan mesingan ketika memandu ke arah kedudukan pasukan revolusi, katanya. Masih tidak jelas siapa sebenarnya membunuh keluarga itu.

Sementara itu, komander atasan Amerika bagi Afrika memberitahu The Associated Press kelmarin bahawa misi ketenteraan di Libya hampir tamat dan pembabitan NATO dijangka selesai seawal minggu depan selepas pemimpin bersekutu bertemu di Brussels.

Sirte ialah satu daripada bandar raya terakhir masih kekal dalam genggaman tentera yang setia kepada Gaddafi. Selepas beberapa bulan berdepan kebuntuan dalam perang saudara di Libya, tentera antiGaddafi menyusup masuk ke Tripoli Ogos lalu dan pemimpin mereka menubuhkan kerajaan peralihan. Bagaimanapun, pertempuran berterusan dan kegagalan mencari dan menangkap Gaddafi menghalang pemimpin baru negara itu mengisytiharkan kemenangan. – AP/AFP

Tiada ulasan: