03 Oktober 2011

PAS bawa seni untuk dakwah, bukan sekadar hiburan

5 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Okt: PAS Negeri Perak, khususnya PAS Kawasan Parit Buntar, buat julung-julung kalinya telah menganjurkan satu program santai secara besar-besaran bersama bekas-bekas artis terkenal yang dinamakan Mini Konsert & Talk Show di dewan Markas PAS Titi Serong, Parit Buntar, kelmarin.

Program yang bermula jam 3.00 hingga 5.00 petang itu dihoskan oleh Bob Lokman dan turut melibatkan dua bekas rockers terkenal, Mael dan Pak Long.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan, program tersebut anjuran PAS Kawasan Parit Buntar dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar dan ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Menurut beliau, sebelum ini PAS Kawasan Parit Buntar pernah menganjurkan program santai seperti itu tetapi hanya secara kecil-kecilan dengan hanya melibatkan Mael dan Pak Long sahaja, berbanding program hari ini yang turut melibatkan bekas pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman.

Katanya, program tersebut bagaimanapun bukanlah terarah kepada hiburan semata-mata sehingga membawa kepada kelalaian seperti yang dianjurkan oleh sesetengah pihak, tetapi ia tetap bertapak atas orientasi dakwah.

"Program yang kami adakan pada hari ini, selain mengandungi persembahan hiburan daripada artis-artis tersebut, juga berbentuk 'talk show' yang disampaikan oleh Bob Lokman, Mael dan Pak Long untuk menyampaikan mesej berguna kepada orang ramai," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Antara mesej utama yang disampaikan itu, menurut beliau, PAS tidak menentang seni dan kegiatan seni dan PAS juga tidak pernah menyatakan hanya bentuk kegiatan kesenian tertentu seperti nasyid sahaja yang dibenarkan.

"Sebaliknya, PAS turut memberikan perhatian kepada kegiatan kesenian untuk memberikan hiburan kepada orang ramai, asalkan ia disampaikan dengan cara yang betul, tidak melampau dan tidak terkeluar dari batasan syariat," tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berharap agar orang ramai faham dengan perjuangan PAS termasuk pendirian PAS dalam soal kesenian supaya perjuangan PAS tidak disalahterima oleh pihak-pihak tertentu.

Berdasarkan sambutan baik yang diberikan oleh orang ramai terhadap program itu, PAS Parit Buntar bercadang untuk mengadakan lagi program seperti itu pada masa akan datang, malah mungkin akan diadakan secara lebih besar, bagi memberikan hiburan yang berguna kepada orang ramai.

"Bilangan mereka yang hadir ke program kami pada hari ini sekitar 500 orang sehingga memenuhi dewan. Artis-artis terbabit yang terdiri daripada Bob Lokman, Mael dan Pak Long juga kelihatan memberikan respon yang baik dan seronok menjayakan program itu," katanya.

Pada masa akan datang, jelas beliau, pihaknya mungkin akan turut mengundang sama bekas pemain muzik terkenal, Sham Kamikaze bagi memeriahkan majlis.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: