14 Oktober 2011

Papua New Guinea Dilanda Gegaran 6.7 Magnitud

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SYDNEY: Kepulauan Papua New Guinea pada Jumaat dilanda gempa bumi berukuran 6.7 magnitud, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan setakat ini.

US Geological Survey berkata gegaran tersebut berlaku pada kedalaman 45 kilometer (28 batu), 103 kilometer di timur bandar raya Lae dan 326 kilometer di utara ibu kota Port Moresby.

Geoscience Australia yang menyukat gegaran itu pada skala 6.5 magnitud, berkata pusat gempa itu tidak dapat dipastikan sama ada berada di bawah laut atau daratan kerana ia berlaku terlalu hampir dengan pantai.

“Sesiapa yang berada berhampiran dengan kawasan gempa bumi itu pasti dapat merasai gegaran yang sangat kuat, yang berkemungkinan menjejaskan kawasan persekitarannya.

“Kawasan perbandaran Lae yang terletak kira-kira 100 kilometer di bahagian barat lokasi gegaran itu mungkin mengalami kerosakan kecil,” kata ahli seismologi David Jepsen kepada AFP.

Katanya lagi, gegaran pada skala tersebut adalah sesuatu yang lazim bagi kawasan itu.

Papua New Guinea yang dihimpit kemelut kemiskinan walaupun mempunyai kekayaan mineral terletak dalam Lingkaran Gunung Berapi Pasifik yang diancam aktiviti gelombang seismos kerana pergeseran di antara plat-plat tektonik.

Tsunami dahsyat yang melanda bahagian barat laut negara itu di Aitape pada 1998 berpunca daripada gegaran yang berlaku di bawah laut atau gelongsoran tanah. Ia mengorbankan lebih 2,000 mangsa. - AFP

Tiada ulasan: