14 Oktober 2011

Hudud: Saya akan akur jika PAS arah, kata Hu Pang Chaw

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Hu berkata beliau tidak membantah hukum hudud, hanya ketidaksesuaian membawa isu tersebut pada masa ini.

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chaw, yang kini turut menjadi fokus polemik isu hukum hudud berkata, beliau akan “akur” dengan keputusan parti Islam itu jika diarah memberi penjelasan formal mengenai pendiriannya sejak kebelakangan ini.

Sambil berkata beliau belum menerima sebarang panggilan agar berbuat demikian, Hu dari Kelantan berkata, beliau juga telah menjelaskan pendiriannya kepada beberapa pemimpin kanan PAS tiga hari yang lalu.

“Saya akan ikut apa yang diminta... sebagai ahli parti kita kena menghormati peraturan parti, saya akan akur apa yang diminta (jika diminta memberi penjelasan),” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider lewat malam tadi.

“Semasa saya menemui beberapa pemimpin kanan di bangunan Parlimen dua hari lalu (Rabu), saya sudah memberi penjelasan. Dan, mereka faham pendirian saya,” kata beliau tetapi enggan menyebut pemimpin yang beliau bertemu.

Dalam reaksi terbaru ini, kata Hu, beliau tidak membantah dasar hukum hudud, cuma “saya mengatakan bahawa kini bukan masa yang sesuai untuk membincangkan soal melaksanakan pendekatan ini”, lebih-lebih lagi ketika menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Saya tidak bantah hudud, cuma masa perkara itu dibawa dan dibincangkan tak sesuai... itu sahaja. Kita ada banyak isu penting untuk diketengahkan bagi mencari sokongan dalam pilihan raya,” kata beliau.

Laporan media malam tadi menyebut PAS akan memanggil Hu dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan berhubung beberapa kenyataan beliau berkaitan isu hukum hudud yang kembali menjadi bahan kontroversi.

Hu menjadi perhatian ekoran pendirian beliau dalam isu hukum hudud yang hendak dilaksanakan di Kelantan. Beliau mahu bukan Muslim dalam parti itu diambil kira pandangan mereka.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun ruang demokrasi dalam parti itu besar, namun apabila ia melibatkan isu dalaman, anggota parti disarankan supaya menyelesaikan secara bermesyuarat di dalam parti.

“Tidak dinafikan, PAS sebagai parti yang besar juga tidak dapat lari daripada dilanda pelbagai isu dalaman. Atas dasar itu, PAS sudah pun mempunyai pelbagai saluran parti untuk mendapatkan maklum balas dan penjelasan tentang sesuatu isu dalaman.

“Jangan jadikan isu dalaman isu luaran yang seringkali diambil kesempatan oleh musuh untuk menyerang parti,” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada beliau terkejut dengan laporan akan dipanggil memberi penjelasan, Hu berkata, “tidak, sebab saya sudah lama dalam politik.”

“Saya akan akur, saya akan beri penjelasan. Terserah kepada parti untuk menentukan tindakan selepas mendengar penjelasan saya,” katanya lagi.

malaysian insider/-

Tiada ulasan: