21 November 2011

Banjir mula landa Pantai Timur, 22 dipindahkan

25 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Terengganu menjadi negeri pertama dilanda banjir tahun ini berikutan hujan lebat di negeri itu sejak semalam hingga pagi ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara yang dihubungi Bernama berkata, di Terengganu, sehingga jam 11 pagi ini dua daerah iaitu Setiu dan Hulu Terengganu mula dinaiki air.

Beliau berkata, di Setiu seramai 22 orang dari tujuh keluarga di Kampung Merbau Menyusut dipindah ke pusat pemindahan pada jam 8 pagi ini manakala kampung yang terbabit di Hulu Terengganu ialah Kampung Kolam Ajil dan Kampung Telaga.

"Jumlah mereka yang dipindahkan di Hulu Terengganu belum ketahui," katanya.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula berkata, paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap kini melebihi paras bahaya iaitu 22.14 meter (bahaya 21.5 meter) dan Sungai Telemong di Kampung Paya Rapat meningkat kepada paras amaran iaitu 21.2 meter (amaran 21 meter).

Keadaan cuaca di Terengganu kini gelap dengan hujan lebat di seluruh negeri.

- Bernama

Tiada ulasan: