21 November 2011

PKR dakwa NFC biayai umrah keluarga Shahrizat

25 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Nov: PKR mengalu-alukan siasatan yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pelbagai urusniaga melibatkan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan Projek Fidlot Kebangsaan, seperti yang diumumkan mutakhir ini.

“Walau bagaimana pun, isu paling pokok adalah persoalan pertanggungjawaban awal yang bermula dari Kabinet dan menteri-menteri kanan Barisan Nasional yang terlibat menganugerahkan projek bernilai RM250 juta ini kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman langsung,” kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang juga ahli Parlimen Machang berkata, dana awam berjumlah RM250 juta pun disalurkan tanpa ada sebarang jadual pembayaran seperti mana kebiasaannya.

Justeru, beliau menyeru supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak segera membuat kenyataan mengenai skandal itu, lebih-lebih lagi apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mengejutkan negara apabila mengesahkan bahawa kelulusan projek itu tidak dibawa ke peringkat kabinet.

Sebaliknya, kata beliau projek berjumlah RM250 juta itu khabarnya diluluskan oleh sebuah jawatankuasa bukan kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

“PKR pada hari ini boleh mendedahkan bahawa unsur penyelewengan yang mungkin berlaku di dalam NFC dan syarikat-syarikat yang berkaitan melangkaui pendedahan yang mengejutkan rakyat Malaysia selama ini,” ujarnya pada sidang media di lobi Parlimen.

Hadir sama ialah Ketua Wanita PKR yang juga ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Straregi PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Saifuddin memberi contoh, dalam tahun 2010 NFC membelanjakan RM31,580 untuk membiayai pakej umrah di atas nama Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh.

Tegasnya, PKR mempunyai bukti jelas bagaimana arahan agar pembayaran bagi pakej umrah menggunakan dana awam ini datangnya dari pejabat Pengerusi Eksekutif NFC sendiri.

Menurutnya lagi, selain perbelanjaan bersifat peribadi yang tidak sepatutnya dibiayai dana awam seperti itu, lebih membimbangkan adalah pelbagai urusniaga dan pemindahan wang yang melibatkan syarikat-syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil di Singapura.

Justeru, katanya PKR menggesa supaya PAC dan PDRM menyiasat segala urusniaga di antara NFC, NMLC dan RFC dengan syarikat-syarikat di Singapura.

Beliau memberitahu, Global Biofuture Pte Ltd (200822772H) – carian syarikat disertakan bersama Meatworks Singapore Pte Ltd (200923276Z) – carian syarikat disertakan bersama Global Biofuture Pte Ltd terlibat di dalam urusniaga makanan dan bahan api.

Katanya lagi, semakan awal menunjukkan syarikat ini dalam proses menubuhkan pasaraya di Singapura dan disyaki juga terlibat sebagai ejen untuk mengimport lembu dari luar negara melalui Singapura untuk dibekalkan kepada NFC.

Tambah beliau, semakan PKR menunjukkan sehingga akhir Jun 2010, Global Biofuture Sdn Bhd berhutang dengan RFC sebanyak RM939,495.

Menurutnya lagi, PKR percaya bahawa sejumlah wang disalurkan dari pinjaman asal RM250 juta kepada pelbagai syarikat-syarikat peribadi milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, termasuklah untuk menubuhkan dan membiayai Global Biofuture Pte Ltd di Singapura.

Jelasnya, Meatworks Singapore Pte Ltd pula bertanggungjawab menguruskan beberapa restoran mewah milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil di Singapura.

Beliau menambah, semakan penyata kewangan menunjukkan bahawa pada akhir Jun 2010, Meatworks Singapore Pte Ltd berhutang dengan RFC sebanyak RM2,416,815.

“Bukti-bukti awal ini sudah cukup untuk membolehkan satu siasatan terperinci dibuat untuk menentukan sama ada penyelewengan berlaku, apabila wang rakyat yang disalurkan untuk projek nasional berimpak tinggi digunakan bagi tujuan peribadi termasuklah membuka pelbagaisyarikat milik keluarga yang menyimpang dari tujuan asal pinjaman diberikan.

“Skandal ini akan terus terbongkar dan Perdana Menteri perlu tampil memberi penjelasan memandangkan beliaulah yang bertanggungjawab mengkaji cadangan projek dan meluluskan dana awam sebanyak RM250 juta,” ujarnya.

Sebelum ini, PKR juga mendedahkan NFC turut menggunakan wang RM250 juta itu membeli dua buah kondominium mewah, One Menerong di Bangsar bernilai RM13.8 juta.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: