01 November 2011

Hasrat kahwin 11.11.11 berkecai

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Hasrat seorang lelaki mengakhiri zaman bujangnya bersama gadis pilihan pada 11.11.11 tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia akibat sawan ketika melihat taut ditahannya di Lubok Katong, Kubang Kuau, kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa, Zainuddin Mamat,28, dikatakan ke sungai bersama sepupunya, Mohamad Had,19, melihat tauk ditahan petang Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Tengku Azman Tengku Abdullah berkata, sebaik sampai ke tempat kejadian, mangsa meminta sepupunya menunggunya di pagar berhampiran sementara dia ke kawasan danau seorang diri.

Menurutnya, lebih kurang 15 minit kemudian, sepupu mangsa memanggilnya setelah dia tidak keluar dari danau berkenaan, namun tidak mendapat sebarang tindak balas darinya.

“Sepupunya yang mula mengesyaki sesuatu berlaku kepada mangsa terus ke tempat kejadian dan melihatnya dalam keadaan tertiarap.

“Setelah menariknya, sepupunya mendapati dia telah meninggal dan balik ke rumahnya kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian untuk memaklumkan perkara tersebut kepada abangnya,” katanya kepada pemberita petang semalam.

Tengku Azman berkata, jenazah kemudiannya dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas untuk bedah siasat.

Menurutnya, berdasarkan cerita bapanya, mangsa yang pernah bekerja kilang elektronik di Johor ini menghidap sawan sejak kecil dan turut terkena serangan penyakit itu sehari sebelum kejadian.

“Jenazah mangsa dituntut keluarga kira-kira jam 6 petang untuk dikebumikan di kampung halaman mangsa,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: