01 November 2011

Usul potong gaji PM esok

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua memberitahu Pakatan Rakyat akan membahaskan satu usul agar gaji Perdana Menteri dipotong sebulan.

Beliau memberitahu usul di bawah peraturan mesyuarat 66(9) dalam perbahasan peringkat jawatankuasa rang undang-undang perbekalan 2012 bagi Jabatan Perdana Menteri itu telah dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat pada 27 Oktober yang lepas.

"Merujuk kepada Peraturan mesyuarat tersebut, saya telah mengemukakan usul supaya mesyuarat ditangguhkan untuk membahaskan di peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2012 bagi Jabatan Perdana Menteri.

"Usul tersebut akan dibahaskan esok 2 November jam 11.30 pagi," jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen, pagi ini.

Tambah Tian lagi, usul tersebut memohon agar perbelanjaan diluluskan dengan syarat dikurangkan sebanyak RM22,826.65.

"Pengurangan perbelanjaan itu daripada perkara Maksud Bekalan/Pembangunan 6 di bawah Jabatan Perdana Menteri Kod 10000 Emolumen iaitu dengan memotong gaji satu bulan Perdana Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri.

"Kita menggemukakan usul tersebut apabila melihat beberapa kepincangan berlaku mahupun kelemahan dalam pentadbiran beliau sejak Datuk Seri Najib Razak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri," sambungnya lagi.

Tian juga menjelaskan usul tersebut sebenarnya secara tidak langsung akan mewujudkan undi tidak percaya kepada Najib walaupun kita melihat pemotongan sebulan gaji hanyalah perkara yang kecil padanya.

"Terdapat perkara-perkara yang akan dibahasakan oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mangambil bahagian esok dan di antaranya adalah isu pentadbiran beliau yang amat lemah sehingga hutang negara meningkat 51 peratus dari had yang ditetapkan.

"Selain itu juga kadar inflasi yang tinggi telah wujud sejak beliau menjadi Perdana Menteri, yang mana rakyat terus terbeban dengan ekonomi dan kenaikan harga barang tetapi yang amat menyedihkan beliau tetap berbelanja besar setiap beliau dan isteri mengadakan lawatan keluar negara.

"Dalam pada itu kita melihat budaya fitnah dan juga politik kotor menjadi amalan dalam pentadbirannya seperti isu video lucah fitnah kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan baru-baru ini fitnah anak kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sehinggakan pemimpin kanan Umno juga turut melibatkan fitnah," katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Tian memberitahu sebenarnya potongan gaji sebulan itu tidak menjejaskan pendapatan beliau mahupun pentadbirannya tetapi ia memberi isyarat kepada Najib agar lebih berhati-hati dalam urusan perbelanjaan dan juga bersikap telus dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: