01 November 2011

Kemelut PPSMI bukti kerajaan BN lemah

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Kemelut dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah memperlihatkan kepada rakyat betapa lemahnya kerajaan Barisan Nasional dalam membuat sesuatu keputusan penting bagi masa depan negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata kemelut PPSMI berpunca dari dasar pendidikan yang bercelaru dan tidak konsisten dalam pentadbiran BN sehinggakan sebuah badan NGO, Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Malaysia (Page) membuat ugutan kepada kerajaan.

“Sebelumnya, NGO Perkasa membuat ugutan dalam pelbagai transformasi yang dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Bahkan, dalam isu novel Interlok pun, ianya jadi satu polemik. Rakyat melihat bila mana bertukar seorang Menteri Pelajaran, maka pelbagai dasar baru pendidikan diperkenalkan sehingga ia mengganggu kelancaran Dasar Pendidikan Negara.

"Dasar yang sentiasa berubah ini mencerminkan sikap kerajaan Barisan Nasional yang suka menjalankan sesuatu dasar tanpa satu kajian yang mantap dan tersusun,” selar beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Kecelaruan dasar BN, kata beliau telah mengakibatkan negara negara bukan sahaja berhadapan kerugian pembinaan generasi negara selaras dengan keperluan, bahkan ia turut membawa kesan kepada kewangan negara.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan pandai berfikir panjang, sepatutnya perkara ini tidak berlaku,” kata beliau.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan rakyat bahawa keputusan terbaru kerajaan untuk memansuhkan PPSMI masih boleh berubah.

“Rakyat jangan terkejut seandainya kerajaan BN akan membuat U-turn lagi dalam hal ini kerana kerajaan yang ada sangat lemah dan menunggu untuk tumbang,” sindir beliau.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sistem pendidikan negara ini akan kucar-kacir jika kerajaan membenarkan pemilihan bahasa pengantar sama ada Bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata terdapat satu kajian oleh Unesco bahawa untuk menjadi sebuah negara maju dalam bidang industri teknologi sains, maka mata pelajaran perlu diajar dalam bahasa ibunda.

"Negara maju seperti Jepun, Korea dan Jerman juga tidak mengajar teknikal subjek dalam inggeris malah mempertahankan bahasa ibunda mereka," tegas beliau.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Iklanneka berkata...

Biasa la tu, malaysia kan negara naungan british...