30 November 2011

Selebriti usah rasa gentar untuk ‘berhijrah’

4 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengajak para artis dan selebriti tempatan agar segera ‘berhijrah’ dengan menjadi insan mukmin yang soleh dan bertaqwa kepada Allah SWT.

“Hijrah ini penting sebagai usaha mengajak dan mendidik masyarakat untuk menjadi generasi yang berakhlak mulia di negara ini,” kata Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) DPPWP, Fadhil Osman.

Bagi DPPWP, katanya para artis serta selebriti adalah golongan yang menjadi idola dan ikon masyarakat.

Menurutnya, mereka digilai oleh ribuan anak-anak muda yang ingin melihat aksi mereka dalam dunia hiburan.

Katanya, setiap pergerakan mereka pasti dalam pengetahuan peminat fanatik mereka.

Justeru, ujarnya para artis atau selebriti adalah umpama magnet yang boleh menarik anak-anak muda di negara ini ke mana sahaja.

“Apa yang mendukacitakan, ada kalangan artis atau selebriti tempatan tidak menunjukkan contoh yang baik terhadap masyarakat,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, meskipun jumlah mereka tidak ramai, namun gejala negatif yang dilakukan oleh mereka turut menjadi ikutan para peminat.

Antaranya, kata beliau seperti penyalahgunaan dadah, bersekedudukan, jenayah, budaya hidup sosial yang melampau serta berpakaian yang menjolok mata.

Justeru, ujarnya penghijrahan mereka akan menarik sama anak-anak muda untuk turut jejak langkah mereka.

Jelasnya, DPPWP tidak pula bermaksud meminta para artis meninggalkan dunia hiburan yang mereka ceburi kerana mungkin ia telah menjadi sumber pendapatan mereka, namun apa yang penting adalah mereka menjadi insan teladan yang baik dan boleh dicontohi oleh masyarakat.

“Dalam hal ini, DPPWP memuji beberapa orang artis yang telah berhijrah seperti Catriona Ross, Bob Lokman, Sham Kamikaze, Iwan, Wardina, Irma Hasmie serta beberapa orang artis wanita yang telah mengubah penampilan dengan memakai pakaian menutup aurat dan menjaga solat,” katanya.

Beliau menambah, meskipun mereka masih berlakon dan aktif dalam dunia seni, mereka tidak mengabaikan syariat Islam.

Bahkan, kata beliau imej baik itu akan menjadi contoh teladan yang baik para artis Malaysia di pentas antarabangsa.

DPPWP juga, ujarnya mengharapkan agar para artis dan selebriti tidak merasa gentar terhadap usaha penghijrahan.

“Insya Allah, perubahan pada penampilan tidak akan merencatkan rezeki mereka, malah rezeki akan lebih mencurah-curah.

“Daripada pentas lakonan sehingga ke masjid-masjid, para artis yang telah berhijrah ini akan dijemput untuk memberi perkongsian serta persembahan,” ujarnya.


Harakah Daily

Tiada ulasan: