16 Disember 2011

Jentera bomba rempuh rumah

20 Muharram 1433H. [MOD] -

PENAGA – Sebuah jentera bomba yang dalam perjalanan membantu memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pajak Song, Kepala Batas terbabas dan merempuh sebuah rumah penduduk di Kampung Pasir Gebu di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.25 malam itu, jentera bomba bersama lima anggota termasuk pemandu dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda, Penaga cuba me­ngelak sebuah motosikal yang ditunggang laju semasa melalui selekoh di kawasan berkenaan.

Pengarah Bomba negeri Pulau Pinang, Azmi Tamat berkata, pemandu jentera bomba itu dikatakan cuba mengelak motosikal itu menyebabkan dia gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas sebelum merempuh dinding rumah dan sebatang pokok mangga.

“Akibat rempuhan itu, pemandunya Nordin Hassan, 53, tersepit dan patah kaki kanan manakala tiga rakannya, Ridzuan Hamid, Shamsuddin Mohd Nahu dan Syawal Deraman, semuanya 40-an mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi anggotanya terselamat.

“Bagaimanapun dua beranak yang menghuni rumah berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan biarpun dinding bahagian dapur rumah mereka rosak teruk selepas dirempuh jentera terbabit,” katanya.

Azmi berkata, akibat rempuhan itu, jentera bomba berkenaan tidak dapat meneruskan perjalanan dan tugas memadam kebakaran dilakukan bersama beberapa jentera dari Balai Kepala Batas dan Pasukan Bomba Sukarela lain.

Azmi yang bergegas ke tempat kejadian dari rumahnya di bahagian pulau selepas dimaklumkan kakitangannya berkata, pihaknya mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan pemandu jentera yang tersepit itu.

“Bahagian hadapan jentera itu remuk teruk selepas menghentam pokok mangga menyebabkan mangsa tersepit hingga menyukarkan kerja menyelamat.

“Namun, selepas berusaha keras akhirnya pemandu jentera berkenaan berjaya diselamatkan sebelum dihantar bersama tiga rakan sekerjanya bagi mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas sejurus selepas itu,” katanya.

Jentera yang terlibat dalam kejadian itu kemudiannya berjaya ditarik keluar dan kejadian itu mengemparkan penduduk beberapa buah kampung sekitar yang keluar melihatnya.

Bagaimanapun pihaknya enggan mengulas lanjut berkaitan kejadian itu kerana ingin memberi ruang kepada pasukan penyiasat menjalankan tugas mereka untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Azmi turut memaklumkan masih belum lagi dapat menaksir jumlah kerosakan jentera dan peralatan dalam kejadian itu dan dalam masa sama akan berbincang dengan pemilik rumah berkenaan sebelum menetapkan sebarang keputusan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: