16 Disember 2011

Bukan tuan rumah tetapi hapuskan rasuah - Dewan Ulamak

20 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Malaysia didesak agar lebih serius untuk menangani masalah amalan rasuah di negara ini dan bukan sahaja sekadar menjadi tuan rumah sahaja kepada persidangan untuk membanteras rasuah.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas laporan berita hari ini yang melaporkan bahawa Malaysia menjadi tuan rumah Rakan Perkongsian Strategik dengan 16 negara Asia dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi memupuk hubungan dan kerjasama strategik dalam isu-isu pencegahan rasuah.

Malaysia menjadi tuan rumah kepada rakan perkongsian strategik dengan 16 negara Asia dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi memupuk hubungan dan kerjasama strategik dalam isu-isu pencegahan rasuah.

Dialog tiga hari itu yang bermula semalam dianjurkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatuan (UNDP), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

Selain hubungan dan kerjasama, dialog itu juga bertujuan menggalakkan penyelaras yang lebih erat antara agensi-agensi pencegahan rasuah in rantau Asia dan dunia Arab.

“Sebelum kita menjadi tuan rumah, seeloknya rumah kita hendaklah bersih dan tersusun terlebih dahulu sebelum kita jemput orang luar untuk datang ke rumah kita sebagai tetamu , dengan ranking rasuah yang memalukan sudah tentu kita amat segan apabila tetamu mengetahui hakikat dalam rumah kita yang bersepah!" katanya.

Bagi beliau, rasuah bukan hanya dengan persidangan tetapi ianya hendaklah dibuktikan melalui tindakan oleh pihak kerajaan bermula daripada kesungguhan pihak pimpinan atasan sehinggalah kepada peringkat bawah.

“Kata-kata hikmat berkata busuk ikan bermula daripada kepala, isu rasuah kalau tidak ditangani secara bersungguh-sungguh diperingkat atasan maka peringkat bawahan akan lebih berisiko”

“Dalam Islam, pendidikan dan teladan menjadi contoh terbaik dalam menangani masalah ini, apabila rakyat tidak dihidangkan dengan contoh yang baik, maka agak sukar isu rasuah diselesaikan,”kata beliau lagi.

Menurut beliau, rasuah yang berlaku dalam negara ini sejak mutakhir ini begitu menggusarkan dan masa depan generasi dan negara ini.

"Kerajaan pimpinan Umno telah gagal dan dilihat gagal dalam menangani isu rasuah ini, hanya perubahan secara besar-besaran dalam PRU yang akan datang yang hanya mampu membawa sinar untuk memerangi rasuah.

"Rasuah perlu dicantas bukan sahaja daripada pucuknya tetapi hendaklah dicabut bermula dari umbinya lagi, dan seluruh rakyat tahu siapa umbi rasuah dinegara ini," soal beliau lagi.

Beliau berkata, kepimpinan Tuan Guru Mursyidul Am PAS telah menjadi contoh yang terbaik dalam menangani masalah rasuah ini sehinggakan Kelantan dikenali sebagai negeri yang cemerlang dalam menangani rasuah.

"Ini semua tidak lain dan tidak bukan kerana ajaran Islam yang diterjemahkan mengikut terjemahan yang sepatutnya oleh pihak kerajaan negeri yang dipimpin oleh seorang ulamak,” ujar beliau.

Harakah Daily

Tiada ulasan: