16 Disember 2011

Bertembung atas jambatan

20 Muharram 1433H. [MOD] -

PENGKALAN BINJAI – Akibat bertembung sesama sendiri, seorang pelajar yang kini menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang buruh swasta maut di tempat kejadian dalam nahas motosikal di Kilometer 1, atas jambatan baru Kampung Pengkalan Binjai, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, kedua-dua mangsa, Muhamad Hafirol Afiq Ab Rahim, 17, dan Rosli Wahab, 35, meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian, Muhamad Hafirol Afiq berasal dari Taman Semarak, Binjai, yang menunggang motosikal jenis Honda dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Mak Lagam, Chukai untuk pulang ke rumahnya.

Sementara Rosli yang juga bapa kepada empat anak dan berasal dari Felda Seberang Tayor menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari Kampung Pengkalan Binjai menghala ke Mak Lagam untuk ke rumah ibunya di Felda Neram.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, kedua-dua mangsa dipercayai bertembung dengan kuat dari arah bertentangan hingga mereka tercampak beberapa meter bersama motosikal.

“Nahas itu mengakibatkan Muhamad Hafirol Afiq mengalami pendarahan teruk pada bahagian kepala manakala Rosli pula cedera pada bahagian dalam badan serta dada,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang kebetulan melewati lokasi kejadian cuba memberikan bantuan kecemasan namun gagal menyelamatkan kedua mangsa yang kehilangan banyak darah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Gara-gara perlanggaran kuat itu juga kedua-dua motosikal mangsa remuk dan rosak teruk dengan sebahagian komponennya bertaburan di atas jambatan berkenaan.

Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman (HK) untuk bedah siasat.

Jenazah mereka dituntut keluarga masing-masing kira-kira jam 12 tengah malam untuk disemadikan di tanah perkuburan di kampung masing-masing.

Bagaimanapun Abdullah Sani berkata, punca sebenar kemalangan berkenaan masih disiasat.

Oleh itu orang awam yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: