16 Disember 2011

Noh nafi ada kaitan video hina Hudud

20 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar (gambar) menafikan dakwaan satu video klip bahawa beliau ada kaitan dengan video klip hina hukum hudud.

Menurut Noh, ia adalah satu pakatan jahat pembangkang yang cuba menjatuhkan kredibilitinya sebagai pemimpin di negeri Selangor.

"Apa lagi isu, melainkan cara pemimpin pembangkang yang akan serang secara peribadi pemimpin-pemimpin (Barisan Nasional) terutama saya yang berada di Selangor supaya kredibiliti saya hilang (dan) rakyat Selangor tidak percaya kepada kepimpinan saya," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Kebangsaan Perpaduan Nasional anjuran Majlis Profesor Negara di Kuala Lumpur , Khamis.

Baru-baru ini, Harakahdaily menyiarkan laporan satu video klip yang menunjukkan bukti-bukti kaitan antara video sembang rakyat dengan Noh Omar.

Email penerbit video Sembang Rakyat yang menerbitkan video menghina hudud itu juga email yang tertera sebagai pengendali laman web rasmi Noh iaitu Pena Noh dan laman web Umno Bahagian Tanjung Karang yang diketuai Noh.

Email itu juga didapati ada kaitan dengan laman web Puteri Umno Selangor, menurut klip video yang diterbitkan oleh Malaysianews.

Harakahdaily menyiarkan berita ini 14 Disember lepas di bawah tajuk Video hina hudud ada kaitan dengan Noh Omar? tentang isu ini.

Noh yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata tindakan itu mungkin satu tuduhan dan konspirasi yang cuba dilakukan pembangkang untuk mengaitkan beliau dengan isu sensitif.

Bernama melaporkan beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan media pembangkang, Rabu, yang mendakwa penerbit video Sembang Rakyat yang menerbitkan klip menghina hukum hudud dimiliki oleh orang yang sama yang menguruskan blog anggota Parlimen Tanjung Karang itu, laman web Puteri Umno Selangor dan Umno Tanjung Karang, disamping blog Pena Noh.

Noh berkata beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana orang untuk melakukan perkara itu, dan menafikan dakwaan tersebut.

"Pembangkang di Selangor ini, cukup bimbang dengan saya. Dulu fitnah pasal isu insentif padi, tapi yang ini (video hina hudud) saya cukup terkejut dan saya tidak buat (perkara itu)," katanya.

Harakah Daily

1 ulasan:

Awanama berkata...

penipu pembelit cakapnya putar belit...org kemuka bukti dia nafi gitu je tanpa bukti.....ular sawa