25 Januari 2012

11 dicekup ketika minum arak

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seramai 11 individu ditahan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Masjid Al-Azim Pandan Indah dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kerana minum arak di khalayak ramai di Bukit Permai dan Bukit Langat, Ampang, awal pagi semalam.

Seorang daripada mereka, seorang lelaki, pernah ditahan anggota penguat kuasa tahun lalu di lokasi yang sama.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, ketika serbuan di Bukit Permai, pihaknya mendapati sekumpulan daripada tujuh lelaki dan dua perempuan sedang bergurau senda.

“Sebotol arak dan air berkarbonat diletakkan berhampiran mereka dan seorang anggota unit beruniform bersama kekasihnya, isteri orang yang sarat mengandung, turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, di Bukit Langat, dua lelaki ditahan anggota penguat kuasa apabila sebotol arak dijumpai di dalam kereta yang dinaiki.

Kesemua individu yang ditahan itu pekerja swasta berusia 23 hingga 30 tahun.

Ahmad Nawi, yang mengetuai operasi bermula jam 12.30 hingga 4 pagi itu berkata, kesemua individu terbabit akan diberi kaunseling di Masjid Al-Azim pada 29 Januari ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: