25 Januari 2012

Lynas Peroleh Dana Siapkan Pembinaan Kilang Memproses Nadir Bumi Di Malaysia

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MELBOURNE: Lynas Corporation memperoleh dana mencukupi untuk menyiapkan pembinaan kilang memproses nadir buminya yang tertangguh di Kuantan, Malaysia.

Syarikat itu pada Selasa berkata ia memeterai dokumen pengikat bagi terbitan bon boleh tukar tidak bercagar US$225 juta.

Bon-bon itu dilanggan oleh dana yang diuruskan oleh syarikat pelaburan berpangkalan di AS, Mount Kellett Capital Management.

Lynas berkata modal yang dikumpulkan itu mencukupi untuk memulakan fasa pertama kilangnya di Kuantan dan menyediakan modal kerja menerusi aliran tunai daripada jualan.

Pengerusi eksekutifnya Nicholas Curtis berkata bon-bon itu lebih menarik berbanding kemudahan modal kerja yang kini agak lapuk kerana ia bagi tempoh jangka panjang dan kurang menelan kos.

Kelewatan pemerolehan, keperluan untuk menyiapkan kejuruteraan tambahan dan musim monsun baru-bau ini adalah alasan mengapa pembinaan kilang itu tertangguh, kata Lynas dalam satu kenyataan pada Selasa.

Apa yang penting, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia akan memutuskan minggu depan sama ada meluluskan lesen bagi kilang tersebut.

Dagangan saham Lynas digantung dan harga terakhir ialah pada A$1.28 sesaham. - BERNAMA

Tiada ulasan: