08 Januari 2012

Bubar sebelum selesai PSC bangkit kemarahan rakyat

14 Safar 1433H. [MOD] -
Harakahdaily/-

KOTA BHARU, 7 Jan: Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) Dr Mohd Hatta Md Ramli yakin mana-mana pihak yang cuba untuk mendahului PSC bagi membubarkan Parlimen lebih awal akan berhadapan dengan kemarahan rakyat.

(Dr Hatta dalam pendengaran awam di Kota Bharu)


Sehubungan itu, beliau berharap, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak membubarkan Parlimen sehingga kajian dan cadangan PSC dilaksanakan.

“Maksudnya, pembubaran Parlimen akan ditakhirkan, dikemudiankan, dan itu bukan saja boleh menyelesaikan tugas kami, tetapi seterusnya untuk dilaksanakan penambahbaikan sistem pilihan raya. Ini harapan kita," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media sempena sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Khas Parlimen bagi penambahbaikan pilihan raya di Kota Darulnaim di sini tengahari tadi.

PSC dipengerusikan Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili itu turut dianggotai oleh tiga Ahli Parlimen Pakatan iaitu ahli Parlimen PKR Gombak, Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen DAP Rasah, Anthony Loke Siew Fook.

Dewan Rakyat meluluskan penubuhan PSC pada 3 Oktober 2011 dengan tanggungjawab mengkaji perkara untuk memperkukuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta mengkaji proses pilihan raya yang bebas dan adil.

Penubuhan PSC berkuatkuasa selama enam bulan dari tarikh penubuhannya.

Sementara itu, mengulas isu pembubaran Parlimen sebelum tugas-tugas PSC selesai, Pengerusi PSC Datuk Dr Maximus berkata (pembubaran Parlimen) itu kuasa mutlak Perdana Menteri.

“Kita pun terbabit, namun yang penting kita jalankan kerja ini.

“Selesai tugas kita, barulah berjumpa di luar, perjuangan itu secara demokratik.

“Tetapi kita tidak ada kuasa hendak memutuskan perkara itu,” ujarnya.

Tiada ulasan: