08 Januari 2012

DAP tetap bersama Anwar

14 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 8 Jan: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan para pemimpin DAP akan berada bersama rakyat di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur esok bagi memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, beliau tetap dengan pendirian bahawa Anwar adalah pemimpin Pakatan Rakyat, laporRoketkini.com.

“Kalau Anwar menang (kes mahkamah) tentu sudah tentu beliau ada peluang menjadi Perdana Menteri (bila Pakatan menang PRU13)” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan DAP 2012 di sini hari ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Guan Eng menegaskan sekali lagi komitmen dan semangat kesetiakawanan DAP dengan Anwar sebagai Ketua Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang.

”Kita berdiri teguh di belakangnya sebagai Perdana Menteri alternatif, walau apa pun keputusan perbicaraan esok, kita akan terus menyokongnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, tumpuan harus diberi bukan kepada Anwar, tetapi kepada PRU13 akan datang.

“Kita harapkan beliau berjaya esok dan semoga beliau dapat mengecapi Impian Bangsa Malaysia bersama kita,” katanya. DAP hari ini mengemukakan Deklarasi Shah Alam bertemakan ‘Impian Bangsa Malaysia’ bagi mengukuhkan lagi iltizam menghadapi PRU13 akan datang.

Guan Eng berkata, setelah 46 tahun DAP tidak pernah ‘tertinggal’ dan kekal teguh dengan dengan aset utamanya iaitu menolak rasuah dan kronisme.

”Untuk merealisasikan Impian Bangsa Malaysia untuk sebuah negara yang maju, kita mahu negara berpolisi, bukan negara polis, kita memberi jaminan buat rakyat Malaysia bahawa kita tidak akan sama sekali menjual martabat kita kepada BN.

“Dalam usaha untuk merealisasikan Impian Bangsa Malaysia kita tidak mahukan kemenangan berdasarkan kekuatan tetapi kemenangan berdasarkan kebenaran. Marilah kita mengecapi Impian Bangsa Malaysia!,” katanya.

Sehubungan itu bagi memperkasakan Impian Bangsa Malaysia, fokus utamanya ialah dengan menaikkan ekonomi rakyat, meningkatkan mutu hidup serta pengurangan kos sara hidup.

”You ingat ‘kawan baik’ saya (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri) Koh Tsu Koon akan tanggung kah?” katanya menjelaskan di Kerajaan Pakatan Pulau Pinang telah mengurangkan 95 peratus hutang negeri dalam tempoh empat tahun memerintah.
Tambah Guan Eng lagi, sudah sampai masanya untuk memperkenalkan konsep “solidariti ekonomi” dalam membentuk gagasan Impian Bangsa Malaysia.

”Konsep ini bermaksud solidariti antara yang kaya dengan yang miskin, antara bandar dengan luar bandar, antara yang kuat dengan yang lemah.”

Justeru, Guan Eng menjelaskan lapan langkah untuk mencapai gagasan Impian Bangsa Malaysia iaitu:

1. Pelaksanaan gaji minima.
2. Menghubungkan terus kadar kenaikan gaji minima dengan kadar inflasi.
3. Memupuk penyertaan tenaga kerja wanita.
4. Mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.
5. Melonjakkan ekonomi melalui teknologi dan automasi.
6. Membanteras korupsi, rasuah dan ketirisan melalui pentadbiran berteraskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus).
7. Meluhurkan undang-undang; dan
8. Mempertahankan hak-hak sah pekerja.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dan Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim, dan Pengerusi PRM, Dr Rohana Ariffin.

Tiada ulasan: