08 Februari 2012

Warga emas sesat semalaman di Bukit Larut

15 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Mangsa, Jaswant Singh, 73 dijumpai oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Taiping pada jam 10 pagi dalam keadaan lemah selepas semalaman terperangkap di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata, Jaswant telah menghubungi sendiri Balai Bomba dan Penyelamat Taiping setelah menyedari dia tersesat semsa mendaki bukit berkenaan.

“Jaswant telah menghubungi sendiri Balai Bomba dan Penyelamat Taiping ada jam 8.06 malam untuk meminta bantuan setelah gagal menemui jalan keluar daripada kawasan bukit itu.

“Seramai 21 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan operasi mencari telah dimulakan sebaik sahaja pasukan bomba tiba di sana,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurut Hasna, operasi mencari terpaksa ditangguhkan seketika berikutan keadaan sekeliling lokasi kejadian semakin gelap dan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Katanya, operasi disambung kembali pada awal pagi semalam menggunakan bantuan dua anjing pengesan daripada Unit K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri.

“Jaswant ditemui di sebuah kawasan yang berjarak tiga kilometer daripada kaki Bukit Larut dalam keadaan lemah dan terpaksa dipapah keluar daripada lokasi berkenaan.

“Kami turut berterima kasih kepada 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 12 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia yang telah turut membantu operasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menggunakan trek yang telah disediakan untuk mendaki Bukit Larut bagi mengelakkan risiko tersesat dalam kawasan bukit itu.

“Potensi untuk tersesat adalah lebih tinggi jika menggunakan jalan pintas kerana berdasarkan pengalaman saya, kebanyakan mereka yang menggunakan jalan pintas tidak dapat mengecam kawasan sekitar, menyebabkan mereka tersesat,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: