08 Februari 2012

Himpunan aman bantah pembunuhan rakyat Syria

15 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Satu perhimpunan aman akan diadakan di hadapan Kedutaan Syria di ibunegara Jumaat ini bagi membantah dan mengecam pembunuhan ke atas rakyat negara itu yang semakin meningkat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata perhimpunan aman itu akan berlangsung selepas solat Jumaat.

Katanya, mereka akan bersolat Jumaat di Masjid Tabung Haji atau masjid berdekatan dan kemudiannya berarak ke Keduataan Syria di Jalan U Thant.

Semalam, kata Nasrudin, enam anggota Majlis Keselamatan Negara Teluk (GCC) telah bertindak mengusir diplomat Syria dan memanggil pulang duta masing-masing di Damsyik ekoran kematian orang awam yang terus meningkat di negara itu.

"GCC dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan turut mengutuk pembunuhan yang dilakukan terhadap rakyat Syria yang tidak bersenjata sejak demonstrasi menentang Presiden Bashar al-Assad tercetus 11 bulan yang lalu.

"Saya menyeru kepada seluruh ahli PAS, NGO dan seluruh rakyat yang prihatin agar keluar beramai-ramai untuk berhimpun menyatakan solidariti kita bersama rakyat Syria yang tertindas," tambahnya.

Himpunan tersebut, kata Nasrudin, akan dipimpin oleh Pimpinan PAS, NGO dan aktivis masyarakat yang prihatin.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: