08 Februari 2012

Ketua Pengarah DBP: Awang Sariyan ganti Termuzi

15 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Dr Awang Sariyan telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Beliau menggantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz yang telah tamat perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah DBP pada 31 Januari yang lalu.

Jawatan tersebut telah disandang oleh beliau sejak 1 Februari 2009.

DBP dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan satu Majlis Serahan Tugas Ketua Pengarah telah diadakan pada 31 Januari yang lalu di Bilik Mesyuarat Tun Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Pengarah-pengarah Jabatan dan juga Ketua-ketua Bahagian DBP.

Biodata ringkas Dr Awang

Prof. Dr. Awang bin Sariyan ialah Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik Rakyat China, yang berpangkalan di Beijing. Foreign Studies University, Beijing (Januari 2008 – Julai 2011).

Sebelumnya beliau merupakan Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putera Malaysia dan Profesor Bahasa di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, selain pernah menjadi tenaga akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, universiti Brunei Darussalam dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau pernah dua kali menjadi Profesor Tamu di Universiti Frankfurt Jerman dan beberapa kali di Universiti Sumatera Utara, Indonesia.

Beliau turut dilantik menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura sejak tahun 1992 dan telah membentangkan kira-kira 200 syarahan, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (termasuk Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka dan Thailand). Tulisannya meliputi lebih 60 judul buku dan ratusan makalah.

Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000 – 2008), Anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), Anggota Perwakilan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Eksekutif Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Antara hadiah dan anugerah yang pernah diperolehnya termasuklah Hadiah Persuratan Sambutan 10 Tahun UKM, Anugerah Khidmat Cemerlang DBP, Hadiah bahasa PLM-Public Bank, hadiah dua Dekad UPM, Anugerah Tinta Kencana (kategori Makalah Ilmiah), Pengiktirafan Siswazah Cemerlang Sambutan 35 tahun UKM dan Kesateria Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: