08 Februari 2012

Dun Selangor bersidang 19 Mac depan

15 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 8 Feb: Dewan Undangan Negeri Selangor akan memulakan persidangan kali pertama bagi sesi 2012 selama empat hari mulai 19 Mac nanti.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menjelaskan Tuanku Sultan Selangor telah berkenaan serta akan merasmikan pembukaan persidangan pada tarikh tersebut.

"Persidangan ini telah ditetapkan pada 19 Mac nanti dan akan berlangsung selama empat hari.

"Tuanku Sultan Selangor telah perkenaan dan baginda akan hadir bagi merasmikan persidangan tersebut," jelasnya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pada persidangan kali ini kerajaan negeri akan membentangkan keadaan kewangan negeri dan program-program pembangunan yang akan diadakan.

Beliau juga memberitahu, menurut laporan Jabatan Kewangan Negeri menyatakan bahawa rizab negeri telah bertambah lebih 26 peratus iaitu secara terkumpul sebanyak RM1.9 bilion bagi akhir tahun 2011.

"Jumlah ini lebih tinggi jika dibandingkan pada akhir tahun 2007 yang mana jumlah terkumpul hanya RM500 juta sahaja.

"Apa yang saya maklumkan ini belum lagi diaudit tetapi laporan kewangan tersebut akan dihantar kepada Ketua Audit Negara untuk mendapat pengesahan terhadap angka-angka yang telah diberitahu," jelasnya.

Tiada ulasan: