23 Mac 2012

Askar AS hadapi 17 tuduhan bunuh warga Afghan

30 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NEW YORK - Pegawai-pegawai Pentagon menjangkakan Staf Sarjan Robert Bales, 38, akan dikenakan 17 tuduhan membunuh berhubung insiden menembak mati dan membakar sebahagian daripada 16 rakyat Afghanistan dua minggu lalu.

Tuduhan-tuduhan "dijangka dibawa esok (hari ini)", kata seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) kepada Yahoo News semalam.

Laporan AP pula menyebut tuduhan dikenakan lebih daripada 17 termasuk melanggar undang-undang perkhidmatan ketenteraan.

"Tuduhan-tuduhan yang ditandatangani ke atas Bales termasuklah 17 tuduhan membunuh, enam tuduhan cuba membunuh dan enam tuduhan tindakan ganas yang teruk dan pelanggaran undang-undang ketenteraan," kata AP.

Pegawai itu tidak dapat menjelaskan sebab Bales berhadapan dengan 17 tuduhan membunuh sedangkan dalam kejadian itu, 16 orang termasuk sembilan ditembak mati di daerah Panjwai, selatan Afghanistan.

Awal minggu ini, peguam Bales, John Henry Browne berkata, beliau akan pergi ke Afghanistan untuk melakukan penyiasatan sendiri bagi melihat apa sebenarnya yang berlaku.

Katanya, tuduhan-tuduhan ke atas Bales sukar untuk dibuktikan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: