23 Mac 2012

Kanak-kanak 8 tahun terselamat, penjenayah larikan kereta

30 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MELAKA — Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun melalui pengalaman getir apabila kereta yang dinaikinya dilarikan seorang penjenayah, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, mangsa, Nor Abdullah Afiq Abdullah sedang tidur di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Gen-2 milik datuknya, Abu Samah Othman, 62.

Kenderaan itu diparkir di Jalan Melaka Raya 8 di sini apabila datuk mangsa berhenti di sebuah syarikat insurans, yang terletak kira-kira 20 meter dari situ, untuk menjelaskan bayaran bulanan.

Abu Semah ketika ditemui berkata dia tidak membawa Nor Abdullah Afiq bersama kerana cucunya itu sedang tidur.

"Saya meninggalkannya dalam kereta dengan keadaan enjin dimatikan tetapi tidak berkunci kerana membuka pendingin hawa dan radio,” katanya.

Bagaimanapun, tidak sampai lima minit berurusan di syarikat itu, dia terkejut apabila mendapati keretanya tidak ada di tempat yang diparkir.

Abu Semah berkata kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada kerani wanita di syarikat insurans tersebut yang kemudian membantu membawanya ke Balai Polis Bandar Hilir untuk membuat laporan.

Ketika dalam perjalanan, mereka terlihat seorang anggota polis trafik dan memberhentikan kenderaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepadanya.

Abu Semah berkata dia diarah membuat laporan selepas anggota polis itu mengambil nombor pendaftaran serta jenis kereta miliknya.

"Kira-kira enam minit menunggu di balai polis, saya dimaklumkan bahawa kereta dan cucu saya berjaya ditemui di Jalan Parameswara, tidak sampai dua kilometer dari tempat saya parkir,” katanya.

Sementara itu, Nor Abdullah Afiq berkata dia terkejut apabila kenderaan dinaiki dipandu seorang lelaki tidak dikenali setelah terjaga daripada tidur selepas bola besbol yang berada di bahagian belakang kereta terjatuh atas kepalanya.

Katanya, dia hanya mendiamkan diri kerana ketakutan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an hasil tindakan pantas anggota trafik tersebut yang melakukan hebahan dan rondaan sehingga berjaya mengesan kenderaan terbabit.

"Turut ditemui, beg pinggang suspek yang mengandungi beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya.

Salehhudin berkata siasatan polis turut menahan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 25 tahun dan seorang perempuan warga Thailand berusia 20-an di sebuah hotel bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 363 kanun sama kerana menculik. — BERNAMA

Tiada ulasan: