23 Mac 2012

Nelayan Pengerang sedia pindah jika ada pampasan

30 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Ketika hujan renyai-renyai petang Ahad lalu, wartawan Malaysiakini berkesempatan menemui sekumpulan nelayan Melayu di Kampung Jawa dan nelayan Cina di Kampung Sungai Kapal, Pengerang, Johor - kawasan yang akan dibangunkan untuk projek Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) bernilai RM60 bilion.

Ketibaan kami disambut mesra beberapa orang nelayan Melayu - yang selesai menghirup kopi pekat sambil menghisap rokok di sebuah kedai kopi yang menghadap sayup-sayup Selat Tebrau yang dilitupi awan gelap.

Rata-ratanya, mereka mewarisi rumah di sini sejak puluhan tahun lalu dan cukup berpengalaman 'bermain' dengan arus ombak dan arif tentang 'lubuk' ikan yang banyak.

Mereka menyatakan kekecewaan dan tidak puas hati berikutan pembinaan pelantar minyak dan projek tambakan laut, sehingga menjejaskan kawasan menangkap ikan yang semakin cetek dan lubuk ikan turut berkurangan.

Pada asalnya mereka tidak mengetahui mengenai projek itu sehinggalah pembinaan dan tambakan bermula beberapa bulan lalu.

Sekalipun 'terpaksa' kehilangan kampung mereka, namun mereka bersetuju berpindah ke kawasan yang dijanjikan dengan syarat pampasan tanah haruslah "munasabah dan setimpal" mengikut pasaran semasa.

Ini kerana mereka sudah puluhan tahun mendiami kampung halaman di situ dan sudah sebati serta 'sentimental' dalam hati mereka.

"Nak kata tak bersetuju (dengan projek ini) tak boleh, sebab ia sudah berjalan. Nelayan minta pampasan. Setakat ini, tidak ada pampasan yang dijanjikan," kata Wan Mustapha Wan Harun, seorang nelayan dari Kampung Jawa.

"Kita tengok dulu pampasan daripada kerajaan. (Saya) tak setuju (pindah kalau tiada pampasan)... Kita bersetuju dengan syarat ia berbaloi dan munasabah.

NONE"Kami tak mahu jika (berpindah) kami bertambah susah," celah nelayan Isa Abdul Hamid yang menetap di situ sejak 57 tahun lalu.

Tiga lagi nelayan berpengalaman yang turut ditemubual - Sahlan Khairudin, Rahmat Sudin dan Khalid Ahmed - turut bersetuju dengan pandangan yang diutarakan.

Mereka juga masih tertanya-tanya jumlah pampasan yang bakal ditawarkan walaupun tanah mereka telahpun diukur oleh pihak yang bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Wan Mustapha berkata dua kampung nelayan, Kampung Buntu dan Kampung Sungai Kapal - bagi fasa pertama - telah dijanjikan pampasan sehingga mencecah RM30,000 seorang.

"Tak adillah dua kampung telah dibayar, satu kampung lagi tidak dibayar," tegas Wan Mustapha yang menjadi nelayan sejak berusia 15 tahun.

Kampung mereka - yang bakal dijadikan tempat penyimpanan minyak - bakal diambil dalam fasa kedua pembangunan projek Rapid. Mereka boleh tinggal di situ selama tiga tahun lagi.

Ditanya bentuk pampasan yang diingini, Wan Mustapha berkata, ia mestilah dalam bentuk wang termasuk perbelanjaan sara hidup bulanan, memandangkan selepas ini mereka tidak menjadi nelayan jika dipindahkan ke tempat baru.

"Kita nak duitlah, termasuk duit sara hidup bulanan. Selepas ini nak menjaring ikan dekat mana? (Selepas ini) nak ke laut dah tak boleh," katanya.

Kumpulan nelayan itu akan dipindahkan di kawasan yang dikenali sebagai Punggai dekat Sungai Rengit yang terletak beberapa kilometer dari kampung halaman mereka.

Pemimpin PKR tempatan, Noor Azan Abdullah menjelaskan jumlah yang dimaksudkan itu bukan pampasan, tetapi wang saguhati yang didakwanya dijanjikan oleh kerajaan.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, dakwanya, jumlah itu termasuk wang sara bulanan sehingga projek itu siap, seperti dalam terkandung memorandum tuntutan nelayan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak

“(Kalau) jumlah pampasan, lebih daripada wang sagu hati itu," katanya sambil menjelaskan harga pasaran bagi tanah seekar mencecah antara RM200,000 hingga RM500,000. Noor Azan turut hadir pada temubual Ahad lalu.

pengerang protest demo 180312Ini berbeza pula dengan nelayan Cina di Kampung Sungai Kapal yang turut terbabit dengan projek itu, yang tidak bersetuju tanah mereka diambil dan membantah projek Rapid diteruskan.

Malah, mereka juga enggan berpindah.

Seng Kwee Teck, 40, membantah projek berkenaan, tetapi "kalau ia tetap berlaku, maka perlu ada pampasan yang berpatutan - yang seharusnya mencecah ratusan ringgit".

Beliau yang menjadi nelayan sejak berusia 15 tahun, mahukan pampasan RM300,000 hingga RM500,000 ribu seorang. Dakwanya, kumpulan nelayan peringkat pertama hanya menerima pampasan RM15,000 hingga RM30,000 seorang.

Seng berkata syarikat berkenaan takut memberi pampasan kepada kumpulan yang kedua dengan jumlah yang besar kerana kumpulan pertama akan kembali menuntut pampasan lebih tinggi.

NONESambil menjelaskan kos sebuah kapal ikan boleh mencecah RM120,000, Seng mendakwa terdapat sembilan nelayan di kampung tersebut yang enggan menerima pampasan yang rendah itu.

Beliau yang ditemui di sebuah kilang belacan, marah dengan sikap seorang wakil rakyat yang didakwanya "mengugut" bahawa nelayan "tidak akan mendapat pampasan jika tak menerimanya" di dalam satu majlis.

Seng mendakwa mereka ditipu supaya "menerima pampasan dengan ang pau". Dakwanya lagi selepas sesetengah nelayan menandatanganinya, barulah mereka diberitahu ia merupakan pampasan projek daripada syarikat terbabit dalam projek tersebut.

Manakala seorang lagi nelayan, Hong Beng Kei, 66, pula berkata sehingga kini, kerajaan belum menghantar surat mengenai pengambilalihan tanah berserta dengan jumlah pampasan.

"Sampai sekarang, kerajaan belum hantar surat mengenai ambil alih tanah dengan pampasan... Rasa risau sebab sehingga sekarang pampasan masih tidak diumumkan.

"Tidak mahu pindah ke tempat lain," katanya sambil menambah beliau mengetahui tanah di kawasannya daripada orang ramai.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: