07 Mac 2012

Hakim benar Mustafa tunda permohonan batal saman

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 7 Mac: Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Datuk Mustafa Ali dan lima yang lain untuk menunda permohonan membatalkan saman yang dikemukakan Umno ke atas mereka hari ini.

Permohonan penundaan itu dibuat untuk memperkemaskan permononan itu disebabkan kesilapan teknikal dalam permohonan mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaki Husin memutuskan menerima permohonan tersebut dan ditangguhkan kepada 10 dan 11 Mei dengan kos sebanyak RM5,000.

Umno Selangor melalui setiausahanya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed memfailkan saman ke atas Mustafa dan lima yang lain ekoran tersiarnya berita dalam Harakah bertajuk ‘Pas akan dedah bukti, Umno main peranan operasi JAIS’ yang disiarkan pada keluaran Harakah 19 Ogos hingga 21 Ogos 2011.

Mustafa membuat kenyataan itu ekoran tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyiasat sebuah gereja dan melibatkan pertembungan antara agama berlaku.

Turut disaman adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang, timbalannya Mohammad Sabu, pencetak akhbar Harakah Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd, Ketua Pengarang Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Khairul Azlam Mohamad.

Peguam yang mewakili Mustafa selaku defendan pertama, Mohd Fitri Asmuni dan peguam mewakili defendan kedua dan ketiga, Azhana Mohd Khairudin bertindak menarik balik permohonan disebabkan kesilapan teknikal dalam permohonannya.

"Kesilapan teknikal adalah kepada perkataan ' dan, atau', bagi kita perkara ini tidak menjejaskan permohonan tersebut.

"Tetapi bagi mengelakkan dari berlaku sesuatu yang kita tidak ketahui maka kita memutuskan menarik balik permohonan tersebut," jelasnya.

Umno Selangor diwakili peguam dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Manakala PAS dan Harakah diwakili peguam dari Tetuan Awi & Co.

Harakah Daily

Tiada ulasan: