07 Mac 2012

Lagi permohonan BR1M Orang Asli ditolak

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Beberapa penduduk komuniti Orang Asli di Pahang binggung apabila diberitahu mereka tidak layak memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) walaupun dikatakan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ismail Leh, 42, dari Kampung Batu Gong Chini berkata, beliau bersama isteri, Fatimah Buka Kunci, 38, telah memohon untuk mendapatkan bantuan RM500 sekeluarga itu.

Bagaimanapun, mereka menerima surat yang mengatakan bahawa mereka tidak layak.

"Saya hanya seorang penoreh getah dan kadang-kadang isteri saya membantu saya. Pendapatan kami hanya RM600 sebulan.

"Saya tidak tahu ... mungkin untuk mengisi borang ini memerlukan seseorang yang boleh membaca dan menulis dengan baik," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ismail dari suku kaum Jakun mempunyai lima orang anak yang berusia 17, 13, 12, 7 dan 5 tahun.

Namun kata Ismail, permohonan bantuan BR1M bapanya diluluskan.

Menurut garis panduan BR1M di laman web Kementerian Kewangan, ketua keluarga bagi setiap isi rumah layak membuat permohonan jika mempunyai anak yang tidak bekerja dan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Permohonan 10 keluarga ditolak

Ismail juga memberitahu bahawa keluarga sepupunya yang tinggal di kampung yang sama - terletak di Pekan, kawasan parlimen yang diwakilin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak - juga gagal mendapatkan bantuan itu.

"Sepupu saya mempunyai dua orang anak, kedua-dua masih kanak-kanak. Suaminya bekerja sebagai kontraktor.

"Secara keseluruhan, saya rasa kira-kira 10 keluarga di kampung saya yang tidak dapat bantuan," katanya.

Sehingga kini, tiada laporan yang memberitahu terdapat keluarga yang gagal untuk mendapatkan bantuan walaupun ada pemohon yang mempunyai pendapatan melebihi RM3,000.

Malah, seorang lelaki anggota MCA yang bergelar ‘Datuk’ di Triang, Pahang juga didapati layak untuk menerima BR1M, walaupun selepas itu beliau mendakwa wang itu didermakan semula.

Pada Isnin lalu, Malaysiakini tutut melaporkan seorang penduduk Orang Asli dari suku Temuan kecewa bahawa permohonan BR1M beliau telah ditolak walaupun beliau tidak mempunyai sebarang pendapatan.

Dewi Malam, 52, dari Kampung Orang Asli Pulau Kempas di Hulu Langat, Selangor, berkata beliau menerima jawapan daripada Kementerian Kewangan pada 16 Februari yang mengatakan bahawa beliau tidak layak untuk menerima bantuan berkenaan.

malaysiakini/-

1 ulasan:

Huda Al Hadi berkata...

Siasat Dato' MCA tu kerana beliau tak layak terima wang BRIM tu apatah lagi apa kuasanya mengambil dan derma kepada orang lain yang belum tentu layak itu. Ini dah macam 'Herculis' mencuri dan mengagihkan. Undang-undang dan perlembagaan tidak menghalalkan sedemikian...? UMNO/BN Boleh....?