07 Mac 2012

Mangsa patukan ular sedar dari koma

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MOHD Sabron yang dipatuk ular tedung selar masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, semalam.
KUANTAN: Keadaan penjinak haiwan, Mohd Sabron Jamil Kamaruddin, 24, yang dipatuk ular tedung selar betina, Sabtu lalu, menunjukkan perkembangan positif dan mangsa kini sudah sedar daripada koma tetapi masih diberi sedatif.

Bapa mangsa, Kamaruddin Abdullah, 56, berkata kesan rosak pada tangan kiri anaknya mula mengecut, selain keadaan mukanya semakin kemerahan.
Beliau bersyukur kerana ada perkembangan positif pada anaknya selepas tiga kali pembedahan dilakukan bagi membuang bahagian daging yang rosak akibat bisa patukan ular.

“Dia sudah sedar selepas koma empat hari, namun masih diberi sedatif bagi mengelakkannya terkejut akibat kesan pembedahan, malah mukanya sudah mula kemerahan selain pembuangan najisnya juga agak normal.

“Saya harap keadaannya semakin baik serta pulih beberapa hari lagi walaupun dia mungkin mengalami kecacatan pada tangan kirinya akibat pembedahan membuang daging yang memburuk,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam.

Sabtu lalu, Mohd Sabron yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bertarung maut beberapa jam selepas dipatuk ular tedung selar ketika membersihkan sangkar haiwan berkenaan.

berita harian/-

Tiada ulasan: