04 Jun 2012

Kesian Pak Lah, dituduh punca Umno lemah

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa simpati kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terus menjadi sasaran kritikan dan dipersalahkan oleh pemimpin Umno termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam suatu kenyataannya menyalahkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penyebab Umno lemah di bawah pemerintahan beliau.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, Tun Dr Mahathir sebenarnya masih tidak berpijak di bumi nyata kerana sukar menerima kenyataan bahawa partinya sudah tidak popular lagi.

Malah sebaliknya kata Riduan, Tun menyalahkan pula pihak lain sebagai penyebab parti beliau lemah.

"Beliau sepatutnya sedar bahawa rakyat sudah muak dengan Umno-BN yang sudah memerintah terlalu lama di negara ini dan melakukan terlalu banyak kepincangan dalam negara ini.

"Rakyat sebenarnya tidak hirau siapa yang berkuasa, sama ada Tun Abdullah mahupun Datuk Seri Najib. Semua pemimpin Umno adalah sama di mata rakyat – bahawa rasuah, penyelewengan kuasa, bersikap zalim dan memboros sudah sebati dalam kehidupan mereka," katanya.

Beliau mempersoal, jika era pemerintahan Datuk Seri Najib kedudukan Umno menjadi lebih baik, mengapa sokongan rakyat terhadap beliau tetap merudum, malah rasuah semakin parah di zaman Najib.

Ianya termasuk kes rasuah projek lembu nasional (NFC) yang melibatkan beratus juta ringgit sehingga Datuk Seri Shahrizat Jalil tersingkir.

Malah belum pernah dalam sejarah negara katanya, seorang Perdana Menteri Malaysia yang dituduh dan didakwa di mahkamah Perancis kerana terlibat dengan rasuah komisyen pembelian kapal selam Scorpene sebanyak USD1 bilion.

"Sebaiknya Tun Dr Mahathir sedar diri bahawa Umno sudah tidak relevan di zaman ini.

"Bukankah Tun Mahathir juga pernah menyebut bahawa ‘Umno sudah busuk sehingga ke ususnya’," katanya melemparkan soalan kepada Tun.

Harakah Daily

Tiada ulasan: