04 Jun 2012

Rokok dalam lubang rahsia

14 Rejab 1433H. [MOD] -

BESUT – Polis merampas sebanyak 1,560 karton rokok pelbagai jenis dalam satu serbuan di sebuah bengkel tersorok dekat Kampung Mak Sara dekat Jertih kelmarin.

Serbuan jam 12 tengah hari itu membabitkan operasi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) Besut dan Pasir Puteh, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menyerbu bengkel tersebut yang terletak di lokasi agak tersembunyi bagi menyiasat kes kecurian kereta yang dilaporkan hilang di Pasir Puteh.

Menurutnya, polis telah menjumpai sebuah kereta jenis Audi, disyaki kenderaan curi yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Serbuan itu turut membawa kepada penemuan sejumlah rokok Gudang Garam pelbagai jenis bernilai kira-kira RM50,000 yang disembunyikan di dalam lubang rahsia di kawasan bengkel itu.

“Jumlah tersebut membabitkan sebanyak 920 karton rokok Gudang Garam Menthol, Gudang Garam Merah (560 karton) dan Gudang Garam Premium (80 karton),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di IPD Besut di sini semalam.

Kamaruddin berkata, pemeriksaan lanjut di dalam sebuah lori kecil buruk di depan bengkel itu pula menemui 41 bungkus mercun jenis 'cake'.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 47 tahun beralamat di bandar Jertih untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kes berasingan kelmarin, polis turut berjaya menahan seorang suspek kes rogol berusia 27 tahun di Kuala Besut.

Suspek dikehendaki kerana dipercayai merogol seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun pada 21 April lalu.

“Turut dirampas, sebuah kereta Proton Perdana yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kenderaan itu dipercayai kereta curi,” katanya.

Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah serta mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Sinar Harian

Tiada ulasan: