04 Jun 2012

155 tenggiling dirampas

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Cubaan tiga lelaki tempatan menyeludup 155 tenggiling ke negara jiran, berjaya dipatahkan sepasukan anggota dan pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Bekelam, di sini, malam kelmarin.

Penolong Pegawai Hidupan Liar Kelantan, Cosmas Ngau berkata, melalui risikan yang dibuat, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan itu, kira-kira jam 11.30 malam.

Hasil serbuan, polis menemui haiwan terbabit dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero selain yang disimpan di dalam stor berhampiran rumah tersebut.

”Nilai rampasan ialah RM325,000 dan ini merupakan rampasan terbesar melibatkan haiwan itu di negeri ini sejak lima tahun lalu dan dipercayai akan diseludup ke Thailand untuk dijadikan makanan eksotik.

”Aktiviti penyeludupan haiwan ini begitu aktif ekoran permintaan yang sangat tinggi, selain harganya yang boleh mencecah RM350 untuk sekilogram,” katanya ketika ditemui semalam.

Cosmas berkata, dalam serbuan tersebut, tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun ditahan untuk membantu siasatan dan hasil rampasan mendapati tenggiling yang paling berat, mencecah 10 kilogram.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kira-kira jam 4 pagi hari yang sama, anggota polis daripada Ibu pejabat Polis Daerah Jeli juga berjaya merampas 16 tenggiling bernilai RM15,000 yang cuba diseludup.

Katanya, haiwan berkenaan dirampas di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Gemang, Jeli ketika pihak polis melakukan sekatan jalan raya dan berjaya menahan dua lelaki.

”Kedua-dua lelaki berkenaan berusia 39 dan 40 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Machang ke Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk menjual haiwan berkenaan kepada peraih dari Thailand.

”Spesies ini merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya, dan di atas kesalahan itu, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 68(2)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga
tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kesemua haiwan tersebut yang dirampas akan dilepaskan semula di kawasan Taman Negara untuk menjamin populasinya supaya tidak pupus.

Sinar Harian

Tiada ulasan: