04 Jun 2012

Risau dimarahi bapa, kanak-kanak nyaris temui ajal

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun nyaris maut akibat dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja ketika berada di satu majlis kenduri perkahwinan di Taman Selasih kira-kira jam 7.30 petang semalam.

Saksi di tempat kejadian berkata, remaja remaja berusia 19 tahun itu menunggang motosikal dengan laju ketika masuk ke selekoh di mana kenduri perkahwinan itu diadakan.

Menurutnya, penduduk sudah beberapa kali menasihatkan remaja terlibat supaya memperlahankan motosikalnya apabila masuk ke kawasan taman perumahan kerana ramai kanak-kanak bermain terutama pada waktu petang.

“Dia (remaja terlibat) memang tunggang motor dengan laju. Apabila dia masuk ke selekoh dia tak sempat membrek lalu merempuh seorang kanak-kanak dan terbabas ke meja tetamu. Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan­ di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan.

"Remaja itu cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditahan orang awam yang berada di majlis perkahwinan itu sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Remaja terlibat ketika ditemui di Balai Polis Taman Selasih berkata, dia baru selesai bermain bola keranjang bersama beberapa orang rakan.

Katanya, bapanya menghubunginya melalui telefon bimbit dan mengarahkan pulang awal ke rumah.

“Bapa telefon, jadi saya nak balik cepat, kalau tidak nanti bapa marah. Apabila melalui selekoh itu, tiba-tiba budak perempuan itu muncul.

"Saya tak sempat elak dan terus langgar dia. Saya takut orang pukul sebab itu saya nak lari,” katanya.

Sementara itu, waris remaja berkenaan yang kemudiannya datang ke rumah kenduri kahwin itu meminta penjelasan mengapa anaknya dipukul.

Tidak berpuas hati dengan tindakan diambil orang awam terhadap anaknya, ibu remaja terlibat turut membuat laporan­ di Balai Polis Kulim.

Sinar Harian

Tiada ulasan: