27 Jun 2012

PAS sampaikan masalah rakyat, bukan berbohong

7 Syaaban 1433H. [MOD] -

MIRI: Isu permohonan Mykad dibangkit semata-mata untuk kebaikan penduduk Sengkabang bukan tujuan untuk meraih undi seperti tuduhan kaunselor Engkamat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee menyatakan demikian merujuk kepada kenyataan Kaunselor Engkamat Juna dalam Utusan Borneo berkata, bahawa PAS membuat tuduhan liar dan pembohongan dalam isu memohon MyKad penghuni rumah Sengkabang.

“Untuk pengetahuan Kaunselor Engkamat, kami mendapat maklumat dan bertanya sendiri dengan penduduk terbabit dan ini bukan tuduhan liar tetapi kenyataan kerana mereka sudah lama menanti Mykad dan ada di antara mereka tiada memiliki surat beranak sejak lahir sehingga dewasa,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Miri dalam satu kenyataan.

Katanya, kalau pihak PAS tidak menyuarakan masalah itu sudah pasti perkara itu tidak diambil perhatian oleh pihak berkuasa.

Sepatutnya, ujar beliau wakil rakyat atau pihak yang diamanah untuk menjaga kebajikan masyarakat pergi turun padang dan menyelesaikan masalah ini bukan menuduh dan menyalahkan PAS kerana menyuarakan masalah rakyat.


Jelasnya, kalau selama ini penduduk terbabit tidak dapat pembelaan dari pihak berwajib sepatutnya mereka sendiri turun padang dan jangan menuduh pihak PAS datang semata-mata untuk meraih undi.

“Kita datang untuk membantu menyuarakan masalah rakyat supaya pihak kerajaan dapat bertindak dan mengatasinya,” ujarnya.


Beliau menjelaskan, kalau sebelum ini tiada pihak datang menyuarakan masalah rakyat maka sebagai sebuah parti untuk semua, PAS bersedia datang untuk membantu menyuarakan masalah rakyat agar pihak berkenaan dapat bertindak dengan sewajarnya.

Justeru, beliau berharap mereka yang menuduh PAS berbohong agar menarik balik kenyataan tersebut kerana PAS melaporkan isu-isu semasa berpandukan maklumat dari pihak yang terbabit dan bukannya rekaan semata-mata untuk meraih undi.


“Kita tidak pernah memaksa rakyat untuk mengundi kita, bukannya macam sesetengah pihak yang mengugut dan mengancam mereka yang tidak mahu mengundi mereka,” katanya lagi.

Beliau berkata, hak rakyat untuk memilih kerajaan terserah dengan kebijaksanaan pengundi masing-masing bukannya dengan rasuah seperti membeli undi dengan wang dan janji-janji kosong.

“PAS berjuang untuk kepentingan dan keadilan rakyat bukan untuk kepentingan peribadi. PAS untuk semua,” tegasnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: