10 Julai 2012

Media baru: Najib resah dengan generasi muda

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kena sedar bahawa generasi muda tidak boleh dibodoh dan digula-gulakan begitu sahaja, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

“Zaman untuk membodohkan rakyat sudah berlalu. Sekarang bukan zaman Perdana Menteri tahun 70-an, tetapi zaman millenium baru yang sarat dengan maklumat sepantas kilat,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Najib meminta generasi muda perlu dilatih supaya mempunyai kemahiran berfikir secara mendalam, supaya persepsi yang terdapat menerusi internet dan media sosial tidak mengganggu mereka di dalam membuat keputusan.

Katanya, ucapan Najib menandakan keresahan beliau kepada generasi muda yang tidak lagi bergantung kepada media yang dikongkong oleh BN yang sarat dengan provokasi dan fitnah.

Idris berkata, macam mana generasi muda hendak mendengar nasihat daripada seorang pemimpin yang tidak mempunyai daya intelektual untuk berhujah.

Ini, katanya kerana cabaran untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak disambut sedangkan ia adalah medan percambahan fikiran, merupakan pendekatan baru yang perlu diambil untuk menguji kematangan dan tahap intelektual.

“Generasi muda yang ada ialah mereka yang bermaklumat, tidak boleh dikongkong oleh mana-mana pihak. Mereka akan berfikir, kalau dah hebat sangat kenapa tidak sanggup untuk berdebat,” katanya.

Oleh itu, ujar beliau Najib jangan marah jika generasi muda tidak bersama dengan Umno, kerana mereka menilai berdasarkan ilmu dan fakta.

Soalnya, macam mana Najib hendak memaksa generasi muda menolak laporan internet dan media sosial di zaman langit terbuka.

“Menjadi tanda tanya kepada mereka apakah laporan yang dikeluarkan oleh internet itu palsu. Jika laporan itu palsu kenapa mereka tidak ambil tindakan undang-undang,” ujarnya lagi.

Idris menambah, generasi celik maklumat tidak boleh menerima ketika mereka terpaksa memerah tenaga untuk mendapat kerja, sedangkan kroni Umno mendapat peluang dengan begitu mudah.

“Apakah ini satu persepsi, fitnah atau laporan palsu yang disiarkan oleh media sosial, yang mereka tidak dapat daripada media lama?” tanya Idris.

Contohnya, kata beliau laporan melupuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta, projek NFC kepada suami Shahrizat sebanyak RM250 juta, Raja Farhana anak Raja Nong Chik dianugerah projek membina Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar Johor sebanyak RM30.8 juta, Ikhwan anak Jamaludin Jarjis mendapat projek Pusat Kawalan Trafik Udara Subang bernilai RM128.4 juta.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Betul betul betul (upin ipin)