10 Julai 2012

Najib utama pengurusan awam dari tangani jenayah

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: PKR hari ini mempersoalkan kenapa program transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pencegahan jenayah hanya melebihkan kepada pengurusan awam daripada menangani permasalahan jenayah.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Belanjawan 2012 yang lepas, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM240 juta untuk pengurusan NKRA yang merangkumi lima aktiviti dasar.

"Saya beranggapan bahawa konsep 'keputusan besar pantas' itu hanyalah semata-mata untuk memberi persepsi kepada rakyat bahawa aktiviti jenayah sudah menurun daripada membaikpulih struktur keselamatan dalam negara ini.

"PKR yakin seluruh rakyat mahu melihat proses penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan jenayah dan ini hanya boleh diperolehi daripada tatakelola dan pengurusan yang kukuh," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab mereka perlu bekerja untuk memperbaharui struktur pasukan polis dan bukannya semata-mata memikirkan persepsi umum.

"Program tranformasi ini untuk menangani isu jenayah adalah lebih kepada pengurusan awam dan 71 peratus daripada jumlah belanjawan yang diperuntukkan adalah untuk NKRA.

"Kerajaan tidak ikhlas apabila mereka hanya menunpukan persepsi rakyat awam," sambungnya lagi.

Dalam masa yang sama beliau turut mengulangi bahawa PKR belum menerima maklum balas daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung unit khas (SB) yang melebihkan aktiviti mengintip rakyat sendiri daripada mencegah aktiviti jenayah.

"Rakyat dan PKR khususnya akan terus menanti jawapan daripada pihak yang bertanggungjawab," katanya lagi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: