10 Julai 2012

Selangor tolak Langat 2 bukan kerana politik

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Senator Syed Husin Ali (gambar) memberitahu Dewan Negara, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menolak Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) bukan kerana politik tetapi masalah ekonomi.

Beliau berkata, harga air akan bertambah jika kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan Loji Langat 2 itu nanti.

Malah jelas beliau, masalah penstrukturan semula air antara Syabas dan Kerajaan Selangor menjadi masalah sulit apabila kementerian dan kerajaan pusat masuk campur.

"Adakah ini diakui oleh kerajaan?" soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan hari ini.

Dalam soalan asal, Senator Ahamad Yusop meminta Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air menyatakan laporan media bahawa jika tiada kata sepakat antara Kerajaan Pusat dan negeri berkaitan isu air, akan berlaku krisis air yang teruk di Lembah Klang menjelang tahun 2014 dan melibatkan jutaan penduduk.

Dalam jawapannya, timbalan menteri berkenaan, Datuk Noriah Kasnon berkata, negeri Johor sudah melangkah kepada penstrukturan semula memperlihatkan kejayaannya dalam mendepani masalah air.

Bagaimanapun, Syed Husin bangun mencelah dan membidas timbalan menteri terbabit bahawa harga air di negeri Johor lebih tinggi berbanding Selangor.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor menegaskan projek Loji Langat 2 tidak perlu disegerakan kerana bekalan air untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi sehingga 2019.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan sikap kerajaan pusat yang mendahulukan projek loji rawatan itu seolah-olah ia amat penting dalam menyelesaikan masalah perkhidmatan air di Selangor.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: