27 September 2012

Buktikan Pro-M dapat dana pembangkang


11 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mencabar pihak yang berkenaan mengemukakan bukti kukuh yang mengaitkan kumpulan pro-Mahasiswa (Pro-M) sebagai penyokong pembangkang.

Pesidennya, Akram Ikrami Taib Azzamudden, berkata pihak terbabit perlu mengemukakan bukti sama ada kumpulan tersebut menerima dana daripada mana-mana parti pembangkang.

"Kami cabar pihak terbabit beri bukti sepertimana yang kami peroleh tentang dana yang diterima kumpulan pro-Aspirasi, selain bukti-bukti yang menunjukkan campur tangan BN dalam usaha memenangkan calon pro-Aspirasi dalam pilihan raya kampus," tegas beliau pada sidang media di parlimen, hari ini.

Pada sidang media itu juga, Akram mendedahkan penglibatan BN dalam pilihan raya kampus (PRK) melalui beberapa minit mesyuarat yang diterima beliau berhubung pertemuan Majlis Perwakilan Pelajar dengan pegawai khas daripada Kementerian Pengajian Tinggi, yang bertarikh 25 Januari 2011.

Akram berkata pada perkara 2.6.3 minit mesyuarat tersebut secara jelas mengatakan perlu ditubuhkan bilik gerakan di universiti bagi memastikan kemenangan aspirasi.

Selain itu, perkara 2.6.5 pula menyebut tentanb tarikh pilihan raya kampus dilewatkan untuk memastikan perancangan bagi memenangkan calon aspirasi dapat dirancang dengan rapi.

Sehubungan iu, beliau berkata penglibatan BN dalam kempen PRK itu menunjukkan persaingan di antara mahasiswa berada di atas padang yang tidak sama rata.

"Ia seolah-olah seorang mahasiswa menentang BN dan seluruh jenteranya, sedangkan ia merupakan pilihan raya di peringkat kampus," kecam beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengecam penggunaan e-voting yang jelas menimbulkan masalah hingga mengakibatkan pilihan raya kampus di UIA terpaksa diadakan semula.

Soalnya, mengapa kekeliruan dan masalah teknikal yang dikatakan punca pemilihan perlu dilakukan semula tidak didedahkan.

Sebagaimana tuntutan mereka sebelum ini, sistem e-voting yang digunakan sejak lapan tahun lalu dilihat tidak adil kerana semua data-data di dalam sistem itu dikawal sepenuhnya pihak pentadbiran universiti.

Sementara itu, ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata pilihan raya kampus yang akan diadakan semula itu memerlukan satu jawatankuasa pilihan raya yang lain berikutan kelemahan pengerusinya, Datuk Dr. Mizan Hitam.

"Bagaimana boleh pilihan raya semula ini dikendalikan oleh orang yang sama, sedangkan terbukti kelemahannya ketika mengendalikan pilihan raya sebelumnya?" soal beliau.

Dalam pada itu, ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, mendesak satu jawatankuasa audit bebas ditubuhkan bagi menyiasat sistem e-voting.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: