07 Disember 2012

Zeti: Subsidi dikurang secara berperingkat

23 Muharram 1433H. [MOD] -

Zeti: Subsidi dikurang secara berperingkat
Zeti ketika menyampaikan ucapan pembukaan dalam satu forum pada hari ketiga persidangan WIEF kelapan semalam. 
 
JOHOR BAHRU – Langkah pengurangan subsidi secara berperingkat tidak akan memberi kesan inflasi kepada negara atau menyebabkan pengguna menanggung beban kenaikan harga tinggi.
 
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, berdasarkan perkembangan ekonomi ketika ini, Malaysia mempunyai ruang mengurangkan subsidi secara berperingkat agar industri dan pengguna bersedia menghadapi perubahan yang berlaku.

“Malaysia mempunyai prospeks untuk menyelaraskan subsidi secara beransur-ansur supaya industri dan pengguna sedar dan dapat menyesuaikan diri dengan tindakan yang diambil.

“Tempoh pelaksanaan subsidi secara berperingkat ini, memberikan lebih ruang kepada peniaga mencari penyelesaian mengurangkan perbelanjaan agar peningkatan kos tidak diletakkan sebagai beban.

“Peniaga boleh menguruskan perkara ini dengan lebih cekap dengan meningkatkan produktiviti mereka dan keadaan ini boleh mengurangkan peningkatan harga kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaan forum bertajuk ‘Perbankan Kewangan Islam: Dari Kerangka Perundangan kepada Nilai Ekonomi sempena hari ketiga World Islamic Economic Forum (WIEF) Kelapan, semalam.

Selain itu katanya, walaupun Malaysia semakin rancak menerima pelaburan dari sektor swasta namun pada masa sama pasaran sukuk (bon Islam) berjaya mengukuhkan kedudukannya dan mencatat perkembangan memberangsangkan.

Sementara itu, di dalam ucapan pembukaannya, Zeti memberitahu pasaran sukuk semakin berkembang di peringkat antarabangsa dan berjaya menumpulkan pasaran dari lebih 20 negara serta terdapat trend untuk menerbitkannya dalam pelbagai mata wang.

“Dimensi pasaran antarabangsa sukuk berkembang pesat dan menyaksikan penyertaan pelabur dari seluruh benua serta menjadi asas kepada pertumbuhan kewangan Islamik.

“Sukuk menyediakan pembiayaan yang kompetitif dan saluran yang lebih meluas kepada pelabur bagi kedua-dua sistem kewangan Islamik dan konvensional,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: