07 Disember 2012

Haji: Pencarum KWSP mungkin dibenar guna simpanan penuh

23 Muharram 1433H. [MOD] -
tabung-haji
 KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji bersedia mengkaji untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan akaun kedua bagi perbelanjaan penuh menunaikan ibadah haji.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail berkata, bagaimanapun perkara itu perlu mendapat kelulusan KWSP.

"Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pencarum KWSP menggunakan sebahagian daripada akaun kedua iaitu berjumlah RM3,000 ringgit untuk tujuan menunaikan ibadah haji," katanya menerusi program 'Dalam Radar terbitan Bernama Radio24 di sini hari ini.

Ismee berkata, setakat ini Tabung Haji telah berjaya mengekalkan jumlah perbelanjaan dengan kos RM9,980 seorang jemaah, walaupun jumlah sebenarnya adalah RM15,150.

"Daripada jumlah itu, Tabung Haji menanggung RM5,170 bagi setiap jemaah. dan turut menanggung beberapa perkara lain, termasuk kursus haji," katanya.

Ismee juga berkata Tabung Haji sentiasa menambah baik perkhidmatan yang disediakan setiap tahun bagi tujuan memberi keselesaan kepada jemaah.

Pada Januari depan, pegawai Tabung Haji akan ke tanah suci untuk urusan memperbaharui kontrak penempatan sedia ada dan melihat perumahan baru bagi memastikan jemaah haji dari negara ini sentiasa mendapat perkhidmatan terbaik.

Menyentuh mengenai musim haji yang baru lepas, beliau menyifatkan perjalanan haji baru-baru ini sebagai satu kejayaan daripada sudut perkhidmatan apabila rungutan jemaah berkurangan berbanding sebelumnya. - 

Bernama

Tiada ulasan: