10 Januari 2013

Air nira kegemaran ramai

27 Safar 1433H. [MOD] -


Air nira
Kerja memotong mayang kelapa pandan menjadi rutin Khairul Anuar setiap pagi dan petang
Air nira
Air nira segar dari kebun kepala pandan seluas 0.4 hektar milik Khairul Anuar mendapat permintaan tinggi kalangan penduduk di Kampung Binjai dan sekitarnya.
 
KEMAMAN– “Kalau kualiti mayang kelapa baik, ia boleh hasilkan air nira mencecah satu hingga dua liter bagi setiap mayang,” kata pengusaha kebun kelapa pandan, Khairul Anuar Othman, 46, yang kini boleh tersenyum lebar dengan hasil kebun yang diusahakannya.

Nama Khairul Anuar sememangnya sudah terkenal sebagai pembekal air nira di Kampung Binjai, dekat sini dan tidak keterlaluan jika dikatakan air nira hasil dari kebunnya digemari ramai kerana kesegaran dan mendapat sambutan menggalakkan.

Tidak hanya bergantung pada jualan air nira, pekebun ini juga turut menerima tempahan buah kelapa pandan dari beberapa warung di sekitar Bandar Chukai.

Air nira dan kelapa pandan yang menjadi sumber rezeki untuknya menyara keluarga datang dari kebun seluas kira-kira 0.4 hektar yang diusahakan sejak 15 tahun lalu yang mana tanah kebunnya itu adalah tanah pemberian kerajaan di bawah program tanah berkelompok
pertanian.

Sehingga kini, Khairul Anuar bersyukur kerana kebun itu dapat meningkatkan taraf kehidupannya sekeluarga dan usaha meneroka tanah tidak sia-sia.

Waktu permulaan mahu mengusahakan kebun, dia bertuah kerana benih pokok kelapa pandan dibekalkan Jabatan Pertanian pada harga subsidi RM1 sepokok.

Khairul Anuar berkata, sebelum menanam pokok kelapa pandan itu, dia banyak mendalami ilmu dengan beberapa orang tua yang berpengalaman bagi menghasilkan air nira berkualiti.

“Sepertimana mengusahakan tanaman lain, menanam kelapa pandan bagi menghasilkan nira juga memerlukan kerajinan dan ketekunan.

“Saya akan ke kebun untuk memotong mayang kelapa mulai jam 7 hingga 8 pagi manakala pada waktu petang dari jam 5 hingga 6 petang,” katanya kepada Sinar Harian.

Potong mayang guna sabit

Berbekalkan sebilah parang bengkok atau dikenali sebagai sabit, dia memotong mayang kelapa, namun mayang yang dipotong bukan sembarangan, sebaliknya dipilih terlebih dahulu kerana seeloknya mayang yang dipilih perlu mempunyai banyak air agar mampu menghasilkan nira yang banyak.

“Saya akan pilih mayang dengan teliti terlebih dahulu. Mayang baru akan menegak ke atas dan selepas diikat dengan tali ia perlu ditarik ke bawah sikit demi sikit dan proses ini akan memakan masa selama seminggu.

“Cara ini dibuat supaya ia tidak mudah pecah dan ia ditarik ke bawah setiap hari agar ia condong bagi menyenangkan nira mengalir apabila hujung mayang dipotong. Hujung mayang yang dipotong kemudiannya ditadah dengan bekas air yang ditebuk,” katanya.

Kutip nira setiap pagi, petang

Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata, sudah menjadi rutinnya mengutip air nira setiap waktu pagi dan petang bagi memastikan nira yang dihasilkan dapat dipasarkan segera dan memastikan kesegaran air itu terjamin.

Dalam melakukan kerja mengutip itu, isterinya, Aida Mustapha, 43, turut membantu sekali gus meringankan kerjanya.

“Jika mayang dipotong pada waktu pagi, air tersebut boleh dikutip pada waktu petang dan sekiranya dipotong pada waktu petang airnya boleh dikutip pada pagi keesokannya. Air nira ini dipasarkan pada harga RM4 setiap liter,” katanya.

Dia memberitahu, setiap mayang yang dipotong boleh menghasilkan sehingga 900 mililiter air, bagaimanapun sekiranya kualiti pokok dan mayang kelapa baik, air nira yang terhasil lebih banyak.

Sementara itu , bagi mengelakkan air nira yang dihasilkan masam, Khairul Anuar akan memasukkan cebisan kulit kayu yang dipanggil laru daripada pohon cengal ke dalam bekas tadahan setiap kali selepas air nira dikutip.

Jual kelapa pandan RM2 sebiji
Tumpuan sepenuhnya terhadap kebun membolehkan Khairul Anuar menjaga tanaman dengan baik dan mampu membekal kelapa pandan antara 70 hingga 80 biji seminggu kepada warung dan restoran sekitar dengan harga sebiji RM2.

“Alhamdulillah, hasil kebun ini yang memberi rezeki dua dalam satu bagi keluarga kami juga membawa untung kerana mayang yang selalu dipotong untuk diambil airnya masih boleh menghasilkan buah kelapa yang berpanjangan,” katanya.

SINAR/-

Tiada ulasan: