10 Januari 2013

Ke mana hala tuju Palestin?

27 Safar 1433H. [MOD] -

Ke mana hala tuju Palestin?
Ratusan ribu penyokong Fatah meraikan ulang tahun ke-48 penubuhan gerakan itu di Genting Gaza untuk pertama kali dalam tempoh enam tahun pada 4 Januari lalu. Foto: Xinhua
Ke mana hala tuju Palestin?
Penyokong Hamas menyertai perhimpunan sempena ulang tahun ke-24 penubuhan Gerakan Hamas di Bandar Gaza, 14 Disember lalu. Foto: Reuters
 
Selepas kejayaan Palestin menaik taraf status kepada negara pemerhati bukan anggota di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan  menangkis serangan rejim Zionis pada November lalu, ia jelas menunjukkan satu perkembangan positif untuk menyatukan Fatah dan Hamas.

Sudah tentu, kedua-dua gerakan itu kini sudah mula berbincang untuk mencapai perdamaian selepas beberapa rundingan sebelum ini gagal mencapai sebarang kata putus.

Realitinya, perkembangan baru ini sebenarnya tidak memberi sebarang jaminan bahawa rundingan tersebut akan berjaya kerana pasti ada pihak yang iri hati mahu mensabotaj proses itu.

Bagaimanapun, usaha untuk menjayakan ‘Projek Kebangsaan Palestin’ tersebut perlu dipandang serius kerana ia akan memberi manfaat kepada semua. Apakah senario perjanjian perdamaian ini? Dan apakah kesan ke atas projek pembebasan tersebut?

Adakah usaha itu dapat ‘membebaskan’ tanah di sempadan mengikut perjanjian 1967, jika Presiden Mahmoud Abbas menyerahkan 78 peratus kawasan Palestin walaupun hak penduduk untuk baki kawasan sebanyak 22 peratus tidak diiktiraf?

Jika ia berjaya, kehidupan penduduk Palestin dikatakan hanya akan kembali seperti sebelum pilihan raya pada tahun 2006 kerana fokus utama selepas penyatuan itu hanya pada pilihan raya presiden dan Parlimen.

Fatah dan parti berhaluan kiri mungkin akan memperoleh  majoriti kecil kerana  sistem senarai berkadar yang digunakan dalam pilihan raya akan datang. Ini kerana, sistem kerusi individu yang diguna pakai sebelum ini telah menyaksikan kemenangan Hamas.

Jika Hamas menang sekali lagi, situasi sekatan dan ancaman didakwa akan terus berlaku. Kemenangan Fatah dan sekutunya yang memperoleh majoriti kecil pula mungkin akan membawa kepada penubuhan kerajaan perpaduan nasional jika Hamas bersetuju untuk menyertainya.

Penubuhan kerajaan perpaduan itu juga tidak akan membawa sebarang perubahan kerana kerajaan masih perlu berunding dengan Israel. Rundingan kerjasama keselamatan dengan Israel pula hanya akan memberi faedah kepada sebelah pihak (Israel).

Sebelum ini, Ketua Perunding Palestin, Saeb Erakat memaklumkan bahawa ada usaha untuk menyambung semula rundingan dengan Israel walaupun pilihan raya negara itu akan berlangsung pada 22 Januari depan.

Ia sememangnya sia-sia kerana semua orang tahu Perdana Menteri,Benjamin Netanyahu sering membuat helah untuk menggagalkan usaha tersebut. Bulan lalu, beliau juga telah mengambil tindakan provokasi segera dengan mengumumkan projek penempatan haram tambahan selepas tuntutan Palestin di PBB berjaya.

Bagaimanapun, jika perdamaian tersebut membawa strategi berbeza, ia sememangnya dialu-alukan. Usaha itu akan berhasil jika hanya ada satu pihak berkuasa awam di Tebing Barat dan Genting Gaza yang menyediakan perkhidmatan awam kepada rakyat.

Pilihan raya pula boleh diadakan di seluruh Palestin untuk mereka memilih kepimpinan bersama melalui perubahan dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Jika perubahan adil dan jujur PLO diterima serta membentuk asas perdamaian, ia akan menjadi satu langkah positif untuk gerakan pembebasan.

Kebuntuan pada masa ini sukar dipecahkan melainkan tercetusnya Intifada di Tebing Barat sebagai tindak balas terhadap peluasan projek penempatan haram golongan Yahudi, dasar, sekatan dan penindasan Israel.

Objektif utamanya adalah untuk menyingkirkan Israel dari kawasan diduduki sejak tahun 1967, sama seperti insiden pengunduran mereka dari Lubnan Selatan; tiada 'rundingan' berlangsung.

Sudah sampai masanya untuk Palestin keluar dari kekusutan ini dan menggunakan pengaruh revolusi kebangkitan rakyat di rantau Arab untuk melangkah ke hadapan dan memperoleh kebebasan sebenar.

Tetapi untuk mencapai matlamat tersebut, kepimpinan di negara itu perlu bersatu demi penduduk Palestin. Namun jika gagal, cara untuk capai perpaduan mungkin hanya melalui intifada. -Analisis oleh Yaser AlZaatra, Middle East Monitor (Memo)

sinar/-

Tiada ulasan: