27 Mac 2013

Acu pistol sebelum samun

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Acu pistol sebelum samun

Polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian, semalam.
MUAR – Empat sekeluarga menempuh detik menakutkan apabila disamun dua penjenayah bersenjatakan pisau dan pistol di rumahnya di  Taman Sungai Abong Permai di sini, semalam.

Berikutan  kejadian kira-kira jam 4.50 pagi itu, keluarga berkenaan mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas beberapa barangan berharga termasuk wang tunai dilarikan perompak.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Tee, 50an, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi pagar rumahnya dibuka.

Menurutnya, dia tertidur di sofa kerana pada malam kejadian dia menonton televisyen hingga lewat malam.

“Belum pun sempat saya periksa  pintu pagar, penyamun terbabit mengacukan pistol sambil mengarahkan supaya diam dan ikut arahan mereka jika tidak mahu dicederakan

“Salah seorang daripada mereka ikat tangan saya guna kain dan suruh naik ke bilik utama untuk ambil barangan berharga,” katanya.

Tee berkata, disebabkan bimbang dengan keselamatan isteri dan ahli keluarga yang lain dia terpaksa menuruti arahan penjenayah itu   

Menurutnya, dua perompak  berkenaan turut mengejutkan adik perempuan dan pembantu rumahnya kemudian mengikat mereka bersama.

“Pada mulanya  mereka  turut mahu ikat isteri  tetapi berubah fikiran apabila  melihat keadaannya yang kurang sihat dan tidak bermaya.

“Mereka menggeledah laci almari di bilik utama untuk mencari barangan berharga dan kemudian terus melarikan diri,” katanya.

Tee berkata, kejadian itu berlaku dalam tempoh kurang 25 minit dan mereka melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diletakkan berhampiran rumah.

“Perompak itu melarikan lima telefon bimbit, sebuah beg, seutas jam berjenama serta wang tunai hampir RM20,000.

“Walaupun masih trauma dengan kejadian ini tetapi saya bersyukur selamat dan tidak dicederakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika  ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek dan gerakan memburu mereka sedang giat dijalankan.

 “Orang ramai yang mempunyai maklumat i kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan, " katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: