27 Mac 2013

Mekanik ditahan miliki dadah bernilai RM24,710

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


pdrm

Ab Rahim (tengah) bersama anggotanya melihat pil kuda yang dirampas daripada seorang mekanik di Kampung Aur, Telong.
BACHOK - Seorang mekanik berusia 28 tahun direman tujuh hari bermula 25 Mac apabila disyaki memiliki metamphetamin ketika pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Aur, Telong pada jam 11 malam Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 32B Akta Dadah Berbahaya 1952, kerana memiliki sejumlah dadah bernilai RM24,710 dan Sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan, Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok yang diketuai Inspektor I Chuan A/L Eplat bersama anggotanya telah menahan suspek selepas menjumpai 821 biji pil kuda dan seketul tumbuhan kering seberat 2.0 gram dipercayai dadah di dalam almari bilik suspek.

“Hasil siasatan pihak kami menemui satu bungkusan kertas berisi ketulan tumbuhan kering disyaki dadah dijumpai dalam beg sandang suspek.

“Selain itu, sekotak rokok mengandungi satu paket plastik cerahberisi 73 biji pil dan satu bekas plastik bertutup biru berisi satu bungkusan kertas putih kekuningan yang mengandungi empat paket plastik biru (setiap paket mempunyai 187 biji pil) juga ditemui. Saringan ujian urin mendapati suspek juga positif dadah jenis metamphetamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok semalam.

Ab Rahim berkata, tangkapan itu adalah ketiga terbesar bagi daerah Bachok berkait Seksyen 39B dan nilai rampasan adalah lebih besar daripada kes sebelumnya.

Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek, pihak polis percaya ia dapat mengenal pasti beberapa sindiket dadah utama di sekitar Kandis dan Telong.

Terdahulu pada 7 Januari lalu, 598 biji pil yang dipercayai pil kuda bernilai RM11,960 dirampas daripada dua bersaudara di Kampung Badak di bawah akta yang sama.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: