22 Mac 2013

Cantik mengikut syarak

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Sekadar gambar hiasan.

Sekadar gambar hiasan.
kecantikan

Percayalah, kecantikan sebenar lahir dari hati yang tulus dan ikhlas.
SYEIKH Dr Yusuf al-Qardawi menegaskan dalam kitab nukilan beliau al-Halal wal Ahkam fil Islam sekiranya ada kecacatan yang menjelikkan pada pandangan mata sehingga menimbulkan sakit di jiwanya, boleh dirawat dan diubat kecacatan itu dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam nyawanya kerana ALLAH SWT tidak menjadikan agama ini dengan penuh kesukaran.

Al-Qardawi juga menegaskan perbuatan bertatu, mencukur kening sehingga menjadi nipis sekali, menjarangkan gigi dengan meletakkan sesuatu di celah gigi atau mengasah gigi dianggap berlebih-lebihan dalam berhias dan bertentangan dengan jiwa Islam yang sebenar.

Beliau secara tegasnya menyatakan perbuatan sesetengah umat Islam yang melakukan pembedahan plastik untuk kecantikan adalah pengaruh budaya materialistik Barat sehingga sanggup mengeluarkan wang yang banyak dan menanggung segala kesakitan demi menjalani pembedahan kosmetik untuk mencantikkan anggota seperti hidung, mata dan payu dara.

Manakala Dr Abdul Karim Zaidan menyatakan dalam buku beliau al-Mufassal fi Ahlam al-Mar’ah wa Bait al-Muslim fi al- Syariah al-Islamiyyah turut membincangkan isu usaha wanita untuk mencantikkan diri mereka dalam konteks yang lebih luas.

Sebarang aktiviti ke arah kecantikan atas usaha sendiri seperti mengamalkan senaman, berbedak, bercelak, bertindik telinga, mengawal pemakanan sama ada dengan tujuan untuk menambah atau menurunkan berat badan adalah harus kerana termasuk
dalam a’mal al-tajmil.

PENGUBAHSUAIAN ciptaan Ilahi sering menjadi persoalan ramai. Jika diperhatikan ramai sahaja yang bertanya pada golongan ilmuwan mengenai topik berkenaan. Minggu ini, Rehal berkesempatan mengupas adakah menjadi satu keharusan atau kelonggaran bagi kita untuk mengubah sesuatu yang buruk kepada kecantikan dan kesempurnaan.

Sesuai dengan arus kemodenan kini, banyaknya pembaharuan dalam dunia kecantikan antaranya, teknologi nano, teknologi ortodontik, pembedahan plastik, suntikan botox dan vitamin C. Semua itu menghiasi diari wanita moden bercita rasa tinggi.
Dibolehkan jika menimbulkan kejelikan

Siapa tidak mahu dipandang cantik dan pastinya tidak ada sesiapa pun mahu berbadan besar serta bergigi rongak, namun seseorang Muslim itu perlu bersikap berpada-pada. Usah diikutkan kata hati untuk menjadi cantik sehingga melupakan batas-batas yang dilarang Islam. Menurut Pensyarah Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood berkata, topik mengenai pengubahsuaian diri ciptaan ALLAH SWT perlu dilihat dari banyak sudut. Harus bagi kita untuk menyelidiki terlebih dahulu sebelum menjatuhkan apa-apa hukum.

“Pada pandangan saya mengenai pemakaian pendakap gigi (braces), ia dibolehkan (keharusan) dengan bertujuan untuk merapikan dan meratakan gigi yang tumbuh tidak sekata atau sedikit terkeluar bagi memudahkan seseorang itu supaya dapat makan dan bercakap dengan sempurna.

“Mengenai kaedah implan atau menanam gigi, ia juga dibenarkan untuk menggantikan gigi yang sudah tidak ada atau tercabut dan konsepnya sama seperti gigi palsu,” katanya.

Menurutnya, keharusan mengubahsuainya bergantung kepada keadaan, sekiranya ia mendatangkan kemudaratan sehingga si polan itu tidak dapat makan maka ia perlu diubati  dengan cara bersesuaian.

ABDULLAH bin Mas’ud menerangkan bahawa Rasulullah melaknat wanita yang merenggangkan giginya demi kecantikan bagi mengubah ciptaan ALLAH SWT (Sahih Muslim no: 3966).

Pengecualian diberikan kepada gigi yang tercedera disebabkan kemalangan, peperangan atau sebagainya, boleh dibetulkan kedudukannya agar orang tersebut dapat makan seperti biasa. Demikian juga dibolehkan memakai gigi palsu bagi orang yang sudah tidak ada gigi.

Adapun memutihkan gigi, maka ia termasuk dalam anjuran agama untuk menjaga kebersihan. Namun berlebih-lebihan dalam memutihkan gigi seperti menggunakan pencuci kimia atau menghakis lapisan luar yang kuning boleh merosakkan gigi untuk jangka masa yang lama, maka elakkanlah ia.


Boleh jatuh haram walaupun suci bersih

Mengulas mengenai teknik rebonding rambut  dan  inai rambut, Siti Fatahiyah berkata, ia dibenarkan kerana bersifat sementara dan kaum wanita adalah bertudung.

“Terutamanya sekiranya perbuatan dilakukan untuk menjaga keharmonian rumah tangga seperti isteri mewarnakan rambut atau rebonding rambut ianya dibenarkan.

“Tapi dalam bab mewarnakan rambut, perlu diingatkan bahawa penggunaan pewarna rambut yang bersifat tidak resap air adalah tidak dibenarkan. Label halal yang dipamerkan di produk-produk pewarna rambut menyatakan bahawa bahan tersebut tidak mempunyai bahan yang dilarang syarak tetapi tidak membawa maksud ianya resap air,” jelas adik kepada penceramah terkenal Ustazah Siti Nurbahyah ini.

Menurutnya, sehubungan itu, gunakan bahan semula jadi daripada tumbuh-tumbuhan seperti inai. Perkara ini perlu dipertimbangkan kerana ia melibatkan hukum mandi wajib dan berwuduk iaitu memerlukan rambut tersebut dibasahkan. Ini bererti jika bahan kimia tersebut kalis air maka hukumnya boleh jatuh haram sekalipun suci dan bersih.


Mahu kekal rupawan

Ketika ini, ramai antara kita melebihkan kecantikan paras rupa dengan mencuba pelbagai bahan-bahan yang boleh dipertikai seperti suntikan vitamin C.

Siti Fatahiyah menerangkan jika kegunaannya semat-mata untuk kecantikan hukumnya haram sebaliknya sekiranya dilakukan untuk kesihatan dan keharmonian rumah tangga ia diharuskan.

“Kita ambil contoh produk kecantikan Safi Rania Gold. Produk ini apabila dipakai di wajah tidak berkekalan sifatnya. Ia akan meresap ke dalam wajah dan lama kelamaan akan hilang dengan sendirinya. Ini dibenarkan.

“Berbeza dengan mereka yang memakai susuk, apabila melalui sinar  X, bahan susuk (emas atau berlian) tersebut masih kelihatan di bawah lapisan kulit menunjukkan ianya berkekalan sekali gus diharamkan,” ulasnya lagi.

Konklusinya, apabila membuat perubahan yang kekal pada badan sama ada melalui suntikan atau pembedahan atau rawatan sekalipun adalah diharuskan jika bertujuan untuk kesihatan atau membaiki kecacatan yang menjelikkan yang ada supaya  kembali normal.

Jika semata-mata  tujuannya untuk kecantikan adalah dilarang sama sekali terutamanya yang melibatkan perbelanjaan sehingga membazir dan dikhuatiri akan memudaratkan di kemudian hari.


Hukum pemakaian inai bercorak mengikut syarak:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 membincangkan hukum pemakaian inai bercorak mengikut syarak. Muzakarah memutuskan:

1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki diharuskan bagi wanita sama ada telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk perubatan. Hukum Suntikan Botulinum Toxin Type A (BTA) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 hingga 6 April 2006 membincangkan hukum suntikan Botulinum Toxin Type A (BTA).

Muzakarah memutuskan:

1. Setelah meneliti laporan kajian dari dalam dan luar negara serta hujah-hujah yang jelas dalam pengeluaran fatwa oleh beberapa negara Islam lain, Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya mengandungi bahan-bahan yang meragukan, najis dan bahan-bahannya ialah khinzir.

2. Suntikan botox ini juga didapati boleh memberi mudarat bagi jangka pendek, jangka panjang dan boleh dimanipulasikan penipuan.

3. Berdasarkan kepada penemuan-penemuan seperti yang tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa suntikan botox digunakan komersialnya botox adalah haram.

4. Walau bagaimanapun untuk perubatan, suntikan Botulinum A ini adalah dibenarkan dengan syarat penggunaannya darurat dan mengikut keperluan serta dilakukan oleh SUMBER: e-fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sinar harian/-


Tiada ulasan: