22 Mac 2013

TV meletup, remaja OKU nyaris maut

10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


TV meletup, remaja OKU nyaris maut

Halimah melihat kawasan punca kebakaran yang ditunjukkan Mazali di rumahnya di Kampung Batu Ampat.
KOTA TINGGI - Seorang remaja golongan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Batu Ampat di sini nyaris maut apabila televisyen yang sedang ditontonnya tiba-tiba meletup.

Remaja tersebut, Faqrul Huzaine Mazali, 19, bagaimanapun terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.15 petang kelmarin.

Menurut ibu mangsa, Sabariah Abdullah, 43, ketika kejadian dia dan suaminya, Mazali A Rahman, 49, tiada di rumah kerana bekerja dan terus bergegas pulang selepas diberitahu.

“Kami hanya tahu tentang kebakaran itu setelah dihubungi oleh ibu (Sapiah Zainal, 75).
 
“Waktu itu, saya hanya berfikir tentang keselamatan dua anak, Faqrul Huzaine dan Fara Najiha, 10, tetapi mujurlah anak kami selamat,” katanya.
 
Menurutnya Sabariah, anak bongsunya Fara Najiha yang baru pulang dari sekolah menaiki van terus berlari ke rumah neneknya yang tidak jauh dari situ untuk meminta pertolongan sebaik terlihat asap tebal dari rumah.

“Pemandu van sekolah bersama jiran lain cuba membantu memadamkan api selain memastikan Faqrul selamat.
 
“Syukur Alhamdulillah, walaupun banyak barang yang rosak akibat kebakaran itu namun anak saya selamat. Terima kasih kepada jiran dan orang ramai yang membantu padamkan api,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Azman Jantan berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi kejadian operasi menyelamat.
 
Bagaimanapun katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih menjalankan siasatan.
 
Tanda prihatin, Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menyumbangkan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada keluarga tersebut.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: