21 Mac 2013

Iraq terus bergolak

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Iraq terus bergolak
Seorang wanita Iraq meninjau keadaan rumahnya yang musnah teruk selepas serangan bom di Kirkuk, 240 kilometer ke Baghdad semalam.
Keganasan memuncak ketika ulang tahun ke-10 pencerobohan AS

Baghdad: Bergelut dengan peningkatan keganasan dan krisis politik meruncing, Iraq semalam memperingati tahun ke-10 pencerobohan diketuai Amerika Syarikat yang mahukan sekutu stabil dan demokratik di Asia Barat.

Kerajaan Iraq tidak mengumumkan sebarang majlis meraikan ulang tahun itu semalam, dengan sambutan berkemungkinan diadakan pada 9 April ini, sempena hari kejatuhan Baghdad. 



Keganasan memuncak menjelang tarikh berkenaan dengan 120 maut minggu lalu, menurut kiraan AFP berdasarkan laporan pegawai keselamatan dan perubatan, dengan yang terburuk berlaku kelmarin. 


Laporan berasingan oleh Iraq Body Count yang beribu pejabat di Britain dan penyelidik di Lancet, meletakkan angka kematian keseluruhan dalam tempoh sedekad pertumpahan darah lebih 112,000 penduduk awam.

Beribu maut setiap minggu

Kematian mencapai kemuncak pada 2006 dan 2007, apabila beribu dibunuh setiap bulan. Keganasan cuma dapat dikawal pada tahun 2008 dan seterusnya, apabila tentera Amerika semakin bertambah dengan militia Sunnah memutuskan untuk menyebelahi tentera Amerika.

Sekurang-kurangnya 20 letupan dan tembakan menyebabkan 56 terbunuh dan lebih 220 cedera kelmarin, hari paling berdarah di Iraq dalam masa enam bulan, membayangkan ketegangan yang terus menyelubungi negara itu. 
Serangan dengan matlamat memusnahkan simpanan senjata pemusnah besar-besaran bekas Presiden Saddam Hussein, yang tidak pernah ditemui, fokus peperangan kemudian diubah untuk mengukuhkan Iraq sebagai sekutu Barat di rantau itu.

ISI punca keganasan

Kumpulan Negara Islam Iraq (ISI) yang ada kaitan dengan al-Qaeda mendakwa bertanggungjawab di atas keganasan dalam kenyataan yang dikirim ke forum pergerakan itu semalam.

“Apa yang anda terima kelmarin ialah tahap pertama, Insya-Allah, akan disusuli dengan balas dendam untuk mereka yang dibunuh,” kata ISI.

Di WASHINGTON, Presiden Barack Obama mengeluarkan kenyataan sehari sebelum itu memberi penghormatan kepada tenteranya tetapi tidak menyentuh mengenai rakyat Iraq, sebaliknya menyatakan sokongan kepada veteran Amerika yang cedera dalam konflik itu. - AFP

Tiada ulasan: