21 Mac 2013

Suspek kempunan curi kereta, rempuh stesen minyak

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Tidak sedar bawa lari tauke

Keadaan kedai serbaneka dan mesin ATM di sebuah stesen minyak yang dirempuh kereta dipandu suspek, awal pagi semalam.
SUBANG JAYA – Seorang lelaki nekad membawa lari kereta bersama mangsanya yang sedang tidur sebelum merempuh kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kesas, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, pemandu kereta jenis Toyota Vellfire itu dikatakan berhenti mengisi minyak dan pada masa sama majikannya seorang lelaki warga Indonesia sedang tidur dalam kenderaan itu.

Ketika pemandu terbabit turun dari kereta untuk mengisi minyak, tiba-tiba seorang lelaki memakai topi besbol berwarna putih terus masuk ke tempat duduk bahagian pemandu dan memecut kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, dalam keadaan kelam-kabut dan terdengar jeritan pemandunya, majikan berkenaan tersedar daripada tidur serta terus mencekik lelaki tidak dikenalinya itu dari belakang.

Menurutnya, akibat terkejut, suspek hilang kawalan dan kenderaan dipandu terus merempuh kedai serbaneka serta sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang berada di stesen minyak itu.

Suspek yang cemas kemudian keluar dari kereta mangsa yang dipandunya sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Honda City berwarna kelabu.

“Kejadian berlaku terlalu pantas di sebuah stesen minyak terletak bersebelahan Lebuhraya Kesas dari Klang menghala Kuala Lumpur,” katanya.

Yahaya berkata, kenderaan mangsa gagal dilarikan suspek dan pemeriksaan berjaya menemukan polis dengan tiga kesan cap jari di pintu bahagian pemandu.

Beliau berkata, pemandu kereta dan majikannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian gagal mengesan nombor pendaftaran kereta suspek disebabkan sistem pencahayaan yang kabur bagaimanapun salinan rakaman sudah diambil.

Menurutnya, topi besbol digunakan suspek turut ditemui pemandu kereta berkenaan.

“Difahamkan, warga Indonesia itu adalah ahli perniagaan yang datang ke negara ini untuk bertemu rakan niaganya.

"Kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Klang ke Melaka,” katanya.

Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: