21 Mac 2013

Pelajar terbaik: Tak perlu usaha keras untuk cemerlang SPM

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR - Tidak perlu berusaha keras tetapi perlu tahu konsep belajar secara bijak merupakan kunci kejayaan seorang pelajar mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.

Nadine Amina Mohd Azman, 18, pelajar aliran sains tulen Sek Men Keb Aminuddin Baki di sini, berkata di samping itu, tumpuan sepenuhnya terhadap
pembelajaran di dalam kelas diikuti dengan doa banyak membantu kejayaannya.

Beliau memperolehi 8A+ dan 1A dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pergigian.

"Setiap hari, saya mesti mengulang kaji empat subjek dan ia telah menjadi rutin sejak di bangku sekolah rendah lagi. Saya juga banyak membuat latih tubi dan latihan menerusi kertas-kertas soalan peperiksaan lepas," katanya kepada Bernama.
Lee Tze Min dari Sek Men Keb Seri Titiwangsa di sini yang mendapat keputusan 9A pula terpaksa membahagi masa antara menolong ibu bapanya berniaga di pasar borong dan mengulang kaji pelajaran. 

"Saya berharap kejayaan ini menjadi titik permulaan untuk mengubah nasib keluarga saya kepada keadaan yang lebih baik," katanya.

Katanya beliau mengulang kaji pelajaran selama empat jam sehari di samping membahagikan masa untuk membantu ibu bapanya berniaga.

Turut berkongsi kegembiraan, Liew Jia En berkata kejayaannya mendapat keputusan 9A+ didorong oleh keinginannya untuk membuktikan pelajar aliran kemanusiaan juga mampu meraih keputusan cemerlang.

"Saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kewangan di universiti tempatan dan seterusnya menceburi diri dalam bidang perbankan,"
katanya yang merupakan satu-satunya pelajar aliran kemanusiaan mendapat keputusan cemerlang di sekolahnya.

Kegigihan anak seorang peniaga pasar borong Selayang, Lee Tze Min (he) berhasil apabila berjaya mendapat keputusan terbaik 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan pagi tadi.

Beliau yang juga pelajar terbaik di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa di sini berkata kejayaan itu diharap dapat menjadi permulaan mengubah nasib keluarganya kepada lebih baik.

Berhasrat menjadi seorang jurutera, pelajar jurusan sains tulen di sekolah harian itu amat berpuas hati dengan keputusan 4A+ 3A dan 2A- dalam peperiksaan tersebut sekaligus meletakkan beliau sebagai pelajar terbaik keseluruhan daripada 149 calon yang mengambil peperiksaan di sekolah itu.

"Saya tidak menjangka mendapat keputusan seperti ini sebab masa peperiksaan percubaan saya dapat 6A sahaja.

"Saya amat bersyukur dengan usaha yang bersungguh dan semangat yang diberikan  keluarga dan guru-guru, saya akhirnya berjaya mencapai sasaran untuk menjadi pelajar terbaik sekolah," katanya kepada Bernama semasa tinjauan SPM di sini hari ini. 

Lee, 18, berkata beliau akan menyambung persekolahan ke tingkatan enam dan mahu mendapatkan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kerana peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda lebih cerah serta peluang untuk memilih bidang pengajian lebih luas.

Bagi Nadine Amina Mohd Azman, 18, pelajar aliran sains tulen Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki berkata tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran di dalam kelas merupakan faktor utama kejayaan beliau meraih keputusan 9A dalam peperiksaan SPM tahun lepas.

Selain itu Nadine Amina yang mendapat keputusan 8A+ dan 1A berkata usaha yang tidak putus dan sentiasa berdoa menjadi pencetus kepada kejayaannya biarpun pada mulanya, beliau hanya meraih keputusan 7A dan 2B dalam peperiksaan percubaan SPM tahun lepas.

"Setiap hari saya mesti mengulang kaji empat subjek dan dan ia telah menjadi rutin sejak di bangku sekolah rendah lagi. Biasanya, selepas peperiksaan pertengahan tahun, saya akan membuat banyak latih tubi dan membuat latihan menerusi kertas-kertas soalan peperiksaan lepas.

"Secara peribadi, saya rasa ia merupakan resipi kejayaan saya kerana kita tidak perlu berusaha keras tapi perlu tahu konsep belajar secara bijak," katanya yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian suatu hari nanti.

Berkongsi kegembiraan tersebut, Liew Jia En (she),18 berkata meskipun beliau bukan daripada aliran sains tulen tetapi beliau tetap optimis membuktikan pelajar aliran kemanusiaan mampu memberi saingan dengan meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM kali ini.

Pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa itu merupakan satu-satunya pelajar aliran tersebut yang mendapat keputusan cemerlang 9A+.

"Saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kewangan di universiti tempatan dan seterusnya menceburi diri dalam bidang perbankan," kata anak kepada seorang penyelia tapak pembinaan itu.

Sebagai anak sulung daripada dua beradik, K. Moohita Jazvini (she) memberikan contoh terbaik pada adiknya, K.Shabita Jazvini berusia sembilan tahun untuk belajar bersungguh-sungguh pada masa akan datang.

Beliau merupakan satu-satunya pelajar Sekolah Menengah Sains Seri Puteri mendapat keputusan cemerlang 9A+ di sini amat berpuas hati dengan kejayaan yang dicapainya hari ini.

"Saya sangat teruja kerana sebelum ini pihak sekolah mensasarkan 11 pelajar untuk meraih 9A cemerlang. Saya harap dengan kejayaan ini dapat membalas budi guru-guru dan ibu bapa yang banyak  menyokong dan memberi motivasi kepada saya," kata pelajar yang bercita-cita menjadi seorang saintis itu. - Bernama

Tiada ulasan: