21 Mac 2013

Lelaki maut ditetak anak saudara

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


IPOH - Kerana mulut badan binasa. Itulah yang terjadi kepada seorang lelaki apabila maut selepas ditetak anak saudaranya selepas berlaku ‘perang mulut’ antara mereka berdua dalam kejadian yang beralku di Kampung Simee, pagi kelmarin.

Mangsa, Phoon Hor Sai, 67, mati di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di kepala akibat ditetak bertalu-talu oleh anak saudaranya menggunakan kapak.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam kejadian yang berlaku jam 10.40 pagi itu, salah seorang saudara mangsa memaklumkan kepada polis selepas melihat mangsa ditemui terbaring berlumuran darah di dalam rumahnya.

“Mangsa, dipercayai tinggal bersama anak saudaranya yang berusia 56 tahun di rumah berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan bertengkar dengan anak saudaranya itu sebelum diserang dengan kapak. Berikutan kejadian itu polis segera menjalankan siasatan sebelum berjaya menangkap suspek di rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Menurutnya, melalui bedah siasat yang dibuat pihak forensik menemui dua tetakan di kepala mangsa dan polis sudah merekodkan keterangan dari beberapa saksi berhubung kejadian tersebut.

“Siasatan lanjut mendapati, sewaktu kejadian ibu mangsa yang sudah uzur, isteri mangsa dan adik suspek dipercayai turut melihat pergaduhan dan serangan itu,” katanya.

Berikutan itu, Chang Keong berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek sudah ditahan reman sehingga Sabtu ini.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: