25 April 2013

BN kempen perkauman guna Jabatan Pelajaran

14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa BN menggunakan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dan Biro Tata Negara (BTN) untuk mewujudkan permusuhan kaum dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Mahfuz berkata, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah mengumpulkan guru-guru Melayu dari beberapa sekolah dalam satu program ceramah yang disampaikan oleh pegawai BTN.

Dalam program tersebut, penceramah membayangkan Melayu akan hilang kuasa apabila Pakatan Rakyat memerintah dan Singapura akan kembali menyertai Malaysia.

"Antara ungkapan dalam pertemuan tersebut ialah mereka mengatakan bahawa kalau Pakatan Rakyat menang ia akan membahayakan orang Melayu kerana kaum Cina akan menguasai negara Malaysia. 

"Mereka membuat analisa selepas Pakatan menang pilihan raya, Singapura akan menyertai semula Malaysia.

"Kerusi Parlimen Singapura akan digabungkan dengan kerusi yang majoriti Cina di Malaysia dan menjadikan kekuatan politik orang Cina itu akan membesar," katanya pada sidang media di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Mahfuz menegaskan, kempen berbaur perkauman itu sangat berbahaya kerana akan menyebabkan kebencian Orang Melayu kepada Orang Cina.

"Kempen ini sangat berbahaya kerana menanam bibit permusuhan kaum khususnya supaya Orang Melayu mempunyai kebencian terhadap Orang Cina. Ini sangat berbahaya kepada politik Malaysia.

"Ini menunjukkan kempen Umno BN sampai kepada peringkat, apa pun matlamat mereka untuk kekalkan kuasa walaupun sampai peringkat pergaduhan kaum," tegasnya.

Justeru beliau mendesak semua pihak menolak politik kebencian kaum dan menghalang negara ini dikuasai oleh golongan yang bersifat perkauman.

"Saya mengajak seluruh masyarakat untuk menghalang politik perkauman daripada berkembang dan menghalang terbentuknya nagara perkauman. 

"Jika BN terus kekal berkuasa dalam Malaysia bermakna terbentuklah kerajaan perkauman, kerajaan perkasa yang akan membawa permusuhan antara kaum," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: